Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NC USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH MAKMAL KUALITI AIR NAHRIM

PHOTO FRAME DESIGN A3 NAHRIM SOFTCOPY

USM PULAU PINANG, 24 Ogos 2022 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), YH Dato' Ir. Dr. Profesor Hj. Nasehir Khan E.M Yahaya, di Pejabat Naib Canselor, di sini.

Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua pemimpin telah bertukar-tukar pandangan mengenai peluang kerjasama di antara pihak USM dan NAHRIM dalam meningkatkan kualiti air serta perbincangan yang melibatkan pembinaan saluran air yang baik untuk mengatasi masalah banjir dan saluran tersumbat.

IMG 0016

Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dato' Dr. Nor Azazi Zakaria yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM, Profesor Dr. Mohd Suffian Yusoff.

USM melalui Pusat Pengajian Sains Kimia (PPSK) pernah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan NAHRIM pada tahun 2018 bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam penyelidikan, penerbitan, perkongsian sumber dan kepakaran, serta pembangunan bakat dalam bidang hidropersekitaran.

NAHRIM ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menjadi pusat fokal kebangsaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pusat khidmat pakar atau perundingan dalam bidang hidropersekitaran yang meliputi sumber air dan perubahan iklim, lembangan sungai, pantai dan oseanografi, hidrogeologi serta kualiti air dan alam sekitar.

Teks: Siti Zulaikha Razak/Foto: Mohd Fairus Md Isa