“WUS 101” WUJUD CIRI KEUSAHAWANAN DALAM DIRI MAHASISWA
NIBONG TEBAL, 27 April 2016 – Mahasiswa masa kini tidak boleh hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran semata-mata tetapi lebih pada itu mereka perlu melihat kepada peluang-peluang yang lebih luas dalam bidang keusahawanan.
Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata perkara yang penting dalam melaksanakan ekspo keusahawanan ini adalah untuk menanamkan ciri-ciri keusahawanan dalam diri pelajar.
Katanya, mahasiswa perlu lebih kreatif dan melihat kursus Teras Keusahawanan (WUS 101) ini sebagai satu platform untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai pemikiran dalam bidang keusahawanan seterusnya dapat memartabatkan ekonomi masyarakat dan negara.
Beliau yang diiringi pensyarah dan pegawai Universiti serta wakil Penang Development Corporation (PDC), Zahida Mohd Idris meluangkan masa melawat setiap gerai dan beramah mesra bersama mahasiswa pada hari pertama program yang bermula semalam selama dua hari di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan di sini.
Dalam pada itu, menurut pengajar kursus Teras Keusahawanan (WUS 101), Dr. Md. Sayuti Ishak ditemui berkata, Ekspo Keusahawanan ini merupakan salah satu elemen penilaian kepada para pelajar yang mengambil kursus tersebut.
“Kursus ini merupakan kursus universiti dan menjadi keperluan kepada setiap pelajar dalam memenuhi tuntutan pengijazahan”, katanya.
Tambah Sayuti, setiap kumpulan terdiri daripada empat hingga enam orang pelajar yang terdiri daripada berlainan kaum dan pusat pengajian.
“Ini memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mengenali pelajar dari pusat pengajian yang lain, mewujudkan semangat perpaduan dan sikap bekerjasama”, katanya.
Dari kiri : Dr Izwan Johari, Mohd Shafie Ariffin, Zahida Mohd Idris, Dr. Md. Sayuti Ishak
“Selain daripada memberi tumpuan terhadap pekerjaan profesional mengikut jurusan masing-masing yang diambil di universiti, para pelajar juga perlu bijak dan kreatif untuk mencari peluang perniagaan menggunakan pengetahuan keusahawanan yang telah dipelajari”, kata Sayuti.
“Bidang keusahawanan sangat luas untuk diterokai pelajar dan ia memerlukan keberanian yang pastinya mendatangkan keuntungan yang lumayan, sekiranya pelajar bersungguh-sungguh dan berada dilandasan yang betul”, tambah Sayuti.
Program ini dapat memberikan pendedahan kepada pelajar untuk mempraktikkan segala asas keusahawan yang telah dipelajari oleh mereka seperti membuat urusan pembelian dari pembekal, teknik penjualan dan teknik menjalankan sesuatu perniagaan.
Pada tahun ini, terdapat sedikit kelainan dimana sebanyak 27 buah sekolah kawasan utara turut sama menyertai ekspo membuka gerai dengan menjual pelbagai produk hasil usaha dan kreativiti masing-masing.
Menurutnya lagi, kejayaan kepada penglibatan sekolah-sekolah dibawah Projek Tunas Muda ini, adalah melalui kerjasama pihak PDC dengan Universiti dalam menggalakkan mereka terlibat dalam bidang keusahawanan.
Jelasnya, “pelajar-pelajar sekolah ini diharap dapat mempraktikkan ilmu keusahawanan yang dipelajari dengan bantuan USM yang merupakan tenaga pengajar bagi sekolah-sekolah seluruh Pulau Pinang dibawah tajaan PDC”.
Dianggarkan lebih 500 pelajar yang terlibat dalam ekspo keusahawanan pada tahun ini dan lebih 1,500 pengunjung hadir terdiri dalam kalangan pelajar, staf dan masyarakat sekitar.
Turut serta dalam memeriahkan ekspo pada kali ini adalah Columbia Asia Hospital, Cawangan Taiping yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma, ujian kecergesan dan demo CPR.
Pengunjung dan mahasiswa yang hadir turut dihiburkan pada sebelah malam dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar Kursus Kokurikulum, gitar, kompang berlagu, senamrobik dan persembahan khas daripada PALAPES Udara, Laut dan Darat.
Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin