Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROGRAM SUKAN RAKYAT SARONG BERSAMA PELAJAR USM, IMBAU NOSTALGIA KEMERIAHAN SUKAN BENDANG KOMUNITI KAMPUNG

R

PENAGA, 28 April 2024- Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU) telah berjaya menganjurkan aktiviti Sukan Rakyat Sarong hasil kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Kepala Batas serta warga Kampung Permatang Pak Elong dan Kampung Permatang Sintok.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, Unit Kesihatan USM Kampus Kejuruteraan, Koperasi KKSSK Pulau Pinang, Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), Angkatan Bomba dan Penyelamat kawasan Kepala Batas, Mydin Hypermarket Bertam, Maestro Swiss Industries (Vico) dan beberapa lagi agensi serta orang perseorangan lain.

Program bertemakan sarong ini melibatkan sebanyak 17 jenis sukan tradisional yang yang gemar dimainkan oleh orang kampung terdahulu di kawasan bendang dan darat.

DATIN SERI KASUT TEMPURUNG2

KEMERIAHAN KUPAS DAN KUKUR NYIOQ

Selain acara sukan rakyat seperti futsal bendang, pukul bantal, bola baling bendang, tarik tali bendang, boling kelapa, kupas dan kukur kelapa dan kasut tempurung, program ini turut melibatkan aktiviti lain seperti gotong royong, merewang, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pameran serta aktiviti kebajikan juga.

Dengan objektif utama adalah untuk bersukan dan bergembira, program ini turut memberi suntikan kasih kepada komuniti kedua-dua kampung yang terlibat di mana sebanyak 15 kit Maidatul Rahman sumbangan Pusat Islam USM, serta 20 beg berisi barangan dapur, sumbangan daripada warga staf USM telah diagihkan ke 20 buah rumah sekitar.

Program ini berjaya melibatkan 500 orang peserta dalam kalangan pelajar USM Kampus Kejuruteraan dan Kampus Induk, pelajar dan pensyarah PERDA-TECH serta warga Kampung Permatang Pak Elong dan Permatang Sintok.

Pengarah Projek, saudari Nur Amira Aisyah Binti Wira Safuan (20), melontarkan harapan beliau agar program sebegini dapat mendokong interaksi antara pelajar dan penduduk kampung sambil menggalakkan mereka untuk sentiasa bergiat aktif dalam aktiviti sukan sambil tidak melupakan warisan sukan tradisional.

BANTUAN2 BANTUAN1

PUKUL BANTAL SAMBUT KASIH

Dalam pada itu, Penolong Penggawa DJLU, juga Penasihat program, Puan Hasliza Mat Saad, merakamkan jutaan terima kasih beliau kepada semua pihak dan individu yang telah terlibat dalam bekerjasama, menaja serta menjayakan Program Sukan Rakyat Sarong yang julung kalinya diadakan ini.

Turut hadir adalah Datin Seri Ismalina Ismail mewakili Yang Berhormat Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam selaku perasmi Sukan Rakyat Sarong; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Azizah Omar; Penggawa DJLU, Encik Mazlifendirizan Md Rejab; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Permatang Sintok, Encik Azri Adnan dan Ketua Cawangan Kampung Permatang Pak Elong, Encik Shukri Baharum.

Teks: Khalish Haikal Mohd Nasir (Pelajar Kampus Kejuruteraan USM)/Foto: Najihatul Syahirah Mohamad Din (Pelajar Kampus Kejuruteraan USM)

Suntingan: Siti Faizah Abd Halim