Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PUPUK KESEDARAN KELESTARIAN SAMBIL MEMBANTU GOLONGAN YANG MEMERLUKAN, SERC ANJUR PROGRAM JUALAN LESTARI 3.0

 DSC00760

NIBONG TEBAL, 10 Mei 2024 – Inisiatif yang diambil oleh Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) Universiti Sains Malaysia (USM), melalui penganjuran Program Jualan Lestari 3.0. menjadi platform untuk mewujudkan kesedaran akan amalan kelestarian dalam kalangan warga kampus.

Pengarah SERC Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad berkata, program ini telah mendapat sokongan yang amat menggalakkan, bukan sahaja dalam kalangan warga kampus, malah dari kalangan penduduk dan komuniti sekitar juga.

“Sokongan mereka ini berjaya mempamerkan tahap kesedaran dan keperihatinan masing-masing akan isu berkenaan sambil membuka peluang kepada staf serta pelajar untuk sama-sama menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar yang kita laksanakan,”.

“Walaupun mungkin dianggap kecil, namun impaknya besar terhadap alam sekitar dan kami berharap ianya akan mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi tentang pentingnya amalan kelestarian ini dalam kehidupan kita semua,” kata beliau.

DSC00759 DSC00765

“Semoga kita secara bersama, akan dapat mewujudkan ekosistem yang lebih lestari kelak,” tambah Azmier.

Walaupun berfokuskan kepada kelestarian alam sekitar, Program Jualan Lestari 3.0. kali ini turut bertujuan untuk membantu mengurangkan beban ekonomi mereka yang memerlukan dengan menawarkan pakaian terpakai yang berkualiti dengan harga serendah RM1.

Inisiatif ini bukan sahaja akan membantu mereka dalam keperluan harian, tetapi turut mengukuhkan solidariti serta nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat demi menyuburkan semangat memberi kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal, dan anak yatim.

Pengarah Program, Encik Muhammad Nasrul Abu Bakar menjelaskan bahawa idea untuk melaksanakan program ini tercetus apabila melihat peningkatan sisa fabrik terpakai yang berada di tapak pelupusan sampah walaupun kebanyakannya masih elok dan boleh dipakai.

DSC00771 DSC00782

“Kita berpendapat, fabrik-fabrik ini jika dikumpulkan dengan betul, masih boleh dikitar semula bagi membantu golongan memerlukan, pada masa sama dapat menyumbang kepada kelestarian alam,” jelas Nasrul.

“Malah, program ini juga dapat mendidik warga kampus dan masyarakat setempat untuk membudayakan amalan kitar semula barangan terpakai khususnya fabrik,”.

Selain daripada itu, dana terkumpul akan turut digunakan untuk menjalankan pelbagai aktiviti kelestarian yang telah dirancang oleh SERC seperti projek-projek penyelidikan, kempen kesedaran, dan inisiatif-inisiatif lain.

Program yang berlangsung selama dua hari dari 9 hingga 10 Mei 2024 di Makmal Kimia Basah SERC ini turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kejuruteraan USM, Life Line Clothing Malaysia Sdn Bhd dan Upcycle4Better.