EKSPO WUS 101 PERKUKUH BUDAYA DAN KEMAHIRAN BERNIAGA DALAM KALANGAN PELAJAR
NIBONG TEBAL, 5 Jun 2024 – Ekspo Keusahawanan (WUS 101) yang dianjurkan oleh Pusat Rancangan Kokurikulum dan Kursus Pengurusan Acara (WSC 127) Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini jadi medan perkukuh budaya dan kemahiran berniaga pelajar.
Perasmian ekspo yang berlangsung selama sehari ini disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang turut meluangkan masa untuk melawat beberapa buah gerai terlibat sambil diiringi oleh Timbalan Pengarah dan Pengerusi Rancangan Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor dan Dr. Azam Taufik Mohd Din.
Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor berharap agar ekspo ini dapat memenuhi keperluan kursus WUS101 dalam pengijazahan bagi para pelajar ijazah pertama kejuruteraan.
“Khususnya seperti yang disarankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.”
“Apatah lagi dengan melihat kepada program ini yang bukan sekadar menyediakan pengalaman praktikal kepada pelajar, tetapi turut membantu mereka memahami dan mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kelas ke dalam situasi dunia sebenar,” tambah beliau.
"Pelbagai produk menarik ditawarkan oleh 140 buah gerai jualan yang dikendalikan 697 orang pelajar kejuruteraan dari pelbagai bidang ini.
“Ianya berjaya menjadi medium untuk mereka mengaplikasikan kemahiran keusahawanan yang telah dipelajari dalam kelas sebelum ini," tambah Salman.
Bagi Penyelaras WUS 101, Dr. Inzairulfaisham Abd Rahim pula, penglibatan pelajar dalam Ekspo Keusahawanan merupakan pendedahan awal dalam memupuk minat mereka akan bidang perniagaan.
“Program ini juga dapat merealisasikan aktiviti berkumpulan rentas pusat pengajian dalam menjana idea perniagaan yang menghasilkan keuntungan.
“Dalam masa berniaga, mereka juga perlu menggunakan pelbagai applikasi terkini Internet Benda (IoT) serta Kecerdikan Buatan (AI) dalam menguruskan projek, mempromosikan produk perniagaan serta jualan dalam talian masing-masing.
Shariff Hakim Abdullah (20), pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, ketika ditemubual berkongsi pengalaman beliau yang seronok meraih pengalaman dalam berniaga sepanjang ekso ini diadakan.
"Ekspo hari ini sangat seronok dan mengujakan, apatah lagi dengan kunjungan dan sokongan dari rakan-rakan,” kata beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman