Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SUKJAP USM RAI PARA ATLET; ERATKAN HUBUNGAN SILATURAHIM ANTARA STAF

USM PULAU PINANG, 11 Jun 2024 – Buat julung kalinya, Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar dan Kelab Sukan Staf Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Sukan Antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) 2024 bagi meraikan para pemenang sekaligus menyambut para atlet SUKJAP.

7a080788 8ab6 49bc b28a 7945d005ab19

Kejohonan SUKJAP telah mendapat penyertaan daripada semua pusat tanggungjawab di USM Induk, dengan penglibatan sebanyak 10 kontinjen termasuk daripada Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).

Hadir bagi menyempurnakan sesi penyampaian hadiah ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Shaharum dalam ucapannya berkata, bidang sukan dengan dimensi yang lebih meluas dapat menjaga keharmonian dan kesihatan warga USM khususnya ke arah yang lebih positif selain daripada pembentukan jati diri, semangat kesukanan dan hubungan silaturahim antara staf. 

“Ia juga seiring dengan nilai dan teras utama  APEX yang dipegang teguh oleh warga USM iaitu teras kesembilan - Teras Kesihatan, yang bertujuan untuk memantapkan kesihatan mental dan fizikal secara harmoni dalam kalangan warga USM melalui pembangunan fizikal, rohani dan moral,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PSR USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dalam ucapannya berkata, PSR USM menerima reaksi yang amat positif daripada penganjuran sukan seperti ini.

Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat sokongan yang lebih jitu daripada semua pihak.

Kemuncak pertandingan yang diadakan ini adalah Sukan Empat Penjuru dengan penglibatan seramai 234 orang yang datang daripada Kampus cawangan Kesihatan, Kejuruteraan dan IPPT PPUSMB. 

Secara keseluruhan, kejohanan pada tahun ini telah berjaya melibatkan lebih 2,000 orang staf termasuk pengadil kejohanan, Jabatan Keselamatan dan juga Pusat Sejahtera yang sentiasa berada di tempat-tempat pertandingan.

Hadir sama adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin; Pendaftar, Mohd Azizuddin Mohd Shariff; wakil Penasihat Undang-undang, Pejabat Perundangan Universiti, Mohd Izwan Hamdan; Yang Dipertua, Kelab Sukan Staf Induk, Profesor Dr. Irfan Naufal Umar; pegawai-pegawai utama universiti dan Yang Dipertua Kelab-kelab Sukan Staf serta Ahli Jawatankuasa SUKJAP.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim