PROGRAM “INTERNATIONAL SUMMER SCHOOL” – KERJASAMA ANTARA DUA UNIVERSITI DARI DUA NEGARA
BANDA ACEH, INDONESIA, 19 Mei 2024 – Satu program “International Summer School” hasil kerjasama antara Program Studi Teknik Pertambangan Universitas Syiah Kuala (PSTP USK) dan Program Kejuruteraan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (MiRES USM) telah berlangsung selama tiga minggu bermula 27 April 2024 sehingga 19 Mei 2024.
Program yang mengangkat tema “Acehnese Southwestern Coastal Harmony: Integrating Sustainability, Mining Innovation, Environmental Strategies, and Community Adventure” disertai oleh 26 orang pelajar USK, 32 orang pelajar USM dan 7 orang pensyarah Kejuruteraan Sumber Mineral.
Turut didokong oleh Perhimpunan Ahli Pertambangan Indonesia (PERHAPI) DPW Aceh dan Kantor Urusan International (KUI) USK, program ini berfungsi sebagai platform kerjasama dinamik antara institusi, memupuk pertukaran idea dan meneroka penyelesaian yang menggabungkan kemampanan, inovasi, serta penglibatan komuniti setempat.
Melalui kuliah interaktif, bengkel kolaboratif, dan pengalaman praktikal, peserta didedahkan dengan pengetahuan tidak ternilai dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh sektor perlombongan sambil mengetengahkan isu penjagaan alam sekitar, seterusnya memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.
Selain itu, peserta juga berpeluang melawat beberapa industri perlombongan di Aceh, seperti PT Solusi Bangun Andalas, PT MIFA Bersaudara, dan PT Bara Energi Lestari, untuk melihat secara dekat bagaimana aktiviti reklamasi, pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan oleh industri perlombongan di sekitar Banda Aceh.
Dekan PPKBSM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar menyambut baik program seumpama ini dan berharap agar jalinan kerjasama antara dua universiti ini dapat dipertingkatkan serta dipelbagaikan melalui pelbagai aspek khususnya bidang penyelidikan.
Ketua Program Studi Teknik Pertambangan USK, Ir. Pocut Nurul Alam turut berharap agar program “International Summer School” ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan dapat memenuhi hasrat USK untuk mendapatkan pengiktirafan akreditasi di peringkat global.
Sementara itu, ketua delegasi dari USM, Profesor Madya Ir .Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim sangat berbesar hati dapat membuat kunjungan ke Banda Aceh dan mengiringi mahasiswa dari USM untuk menyertai program “International Summer School” kali ini.
"Inisiatif ini telah menawarkan pengalaman yang sangat berharga kepada mahasiswa USM dengan mendedahkan mereka kepada amalan terbaik dalam perlombongan di Indonesia, membolehkan mereka membandingkan amalan ini dengan yang terdapat di Malaysia.
”Semoga program ini akan memberi impak positif kepada mahasiswa dan melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal untuk kerjaya masa depan mereka," kata Dr. Syed Fuad.
Program ini juga mendapat sokongan serta tajaan daripada pelbagai pihak industri di Malaysia seperti Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT), Austin Powder Malaysia Sdn Bhd, Institut Jurutera Galian Malaysia (IME), Ecomine Sdn Bhd, Hykari Riders Sdn Bhd, FYS Marketing Sdn Bhd, LT Engineering Sdn Bhd dan Dinamik Fhin Jaya Sdn Bhd.
Artikel merupakan sumbangan oleh Dr. Nurul'ain Binti Jabit dan Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Bin Mohd Hashim. Masing-masing merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.