PROGRAM LIBATSAMA PPKEE-KOMUNITI: PEMERKASAAN RBT DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH MENENGAH RENDAH
NIBONG TEBAL, 1 Jun 2024 – Sebuah program libatsama antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan rakan kerjasama komuniti iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah (SMKSI) telah dilaksanakan dengan jayanya baru-baru ini.
Kolaborasi dalam pelaksanaan Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari Jun 2023 hingga Mei 2024 ini merupakan Projek Libatsama Universiti-Komuniti di bawah geran Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat & Kelestarian Institusi (BJIM).
Dengan tajuk "STEM Program: Empowerment of Knowledge and Technical Skills in Design and Technology (Rekabentuk Teknologi - RBT) Subject among Lower Secondary School Students", ianya diterajui oleh Profesor Madya Dr. Zuraini Dahari selaku pengarah sambil dibantu oleh Dr. Intan Sorfina Zainal Abidin, Dr Muhammad Najwan Hamidi, Encik Mohamad Nazir Abdullah, Puan Roslina Hussin dan sekumpulan mahasiswa PPKEE yang bertindak sebagai fasilitator.
Bertujuan untuk meningkatkan pemahaman, penglibatan dan prestasi murid-murid dalam mata pelajaran RBT terutamanya mengenai topik berkaitan kejuruteraan elektrik dan elektronik, program ini juga dilaksanakan demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pendidikan RBT tersebut.
Inisiatif ini seterusnya akan membantu pihak sekolah, khususnya melalui perkongsian kepakaran USM dari sudut pengetahuan secara teori, pengalaman praktikal dan kemahiran teknikal.
Antara projek yang dilaksanakan secara empat fasa ini adalah Pengenalan Teori Elektrik dan Elektronik; Bengkel 1, Pengenalan Asas kepada Arduino; Bengkel 2, Aplikasi Arduino dan IoT (Internet of Things) dan Projek Berkumpulan.
Program ini menyaksikan penglibatan daripada seramai 70 orang murid-murid Tingkatan 2 dan 3 bersama empat orang guru penasihat dari SMKSI iaitu Puan Siti Nor Aishah Binti Abdullah, Puan Rogayah Binti Hj Mohamed, Puan Norzatashima Binti Hashim dan Puan Siti Nurikhyar Binti Dee.
Untuk proses penilaian, fasa pembentangan projek daripada 10 kumpulan terpilih telah dilaksanakan sebagai penutup di mana murid diminta untuk menyiapkan sebuah projek prototaip dan hasil perlu dibentangkan di hadapan panel penilai yang terdiri daripada sekumpulan pensyarah USM pada akhir April 2024.
Lima kumpulan terbaik telah dipilih bagi kategori “Best Project Awards” dan sebagai insentif pembelajaran jangka panjang SMKSI juga, sepuluh unit Arduino Kit diserahkan kepada pihak sekolah dalam menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan serta aplikasi pengaturcaraannya.
Teks disumbangkan oleh Puan Roslina Binti Hussin. Beliau merupakan Pegawai Penyelidik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia.
Foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim