MANIFESTASI PENGORBANAN DAN KEBERSAMAAN DALAM PROGRAM QURBAN DAN AQIQAH 1445H USM KAMPUS KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 19 Jun 2024 –Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah melaksanakan program Ibadah Qurban & Aqiqah 1445H / 2024 sebagai satu manifestasi pengorbanan dan kebersamaan dalam kalangan warganya.
11 ekor lembu dan 2 ekor kambing disembelih dalam program ini di mana seramai 65 orang petugas dalam kalangan warga kampus hadir, menandakan komitmen masing-masing untuk sama-sama melaksanakan ibadah tersebut bersempena dengan Hari Raya Aidiladha 2024.
Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang hadir semasa program berlangsung merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua urusetia yang telah bertungkus-lumus sepanjang proses ibadah korban dijalankan.
“Ibadah korban, bukan sekadar satu pengorbanan yang dituntut oleh agama, tetapi juga satu inisiatif untuk meningkatkan ukhuwah dan silaturahim sesama kita,”
“Melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong seperti ini, tidak hanya dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang sedia ada, ianya juga membolehkan kita untuk menghayati serta mensyukuri nikmat yang telah diberikan Allah SWT, berbanding dengan umat Islam di negara lain,” kata beliau.
Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman, ketika ditemui dalam program yang sama berkata, asas utama ibadah korban adalah pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT.
“Ibadah yang kita jalankan pada hari ini menggambarkan kepatuhan dan pengorbanan yang tiada tandingannya, seterusnya menjadi teladan kepada seluruh umat Islam untuk sentiasa taat kepada perintah Allah SWT,” kata beliau.
“Melalui ibadah korban ini juga, kita secara langsung telah mengungkapkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan mengorbankan sebahagian harta dalam bentuk binatang ternakan dengan ikhlas keranaNYA,” tambah Shukri.
Selain diagihkan mengikut bahagian yang telah ditetapkan, Shukri memaklumkan bahawa sebahagian daripada daging korban pada kali ini akan dimasak dan disajikan kepada 800 orang warga kampus termasuk pelajar yang telah kembali untuk memulakan sesi pembelajaran mereka.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman