KARNIVAL KEUSAHAWANAN ‘RI-OOH KEJUT’ PUPUK ATRIBUT HEBAT DALAM KALANGAN MAHASISWA
NIBONG TEBAL, 21 Jun 2024 - Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU) Sidang Akademik 2023/2024 telah menganjurkan program RI-OOH KEJUT yang berbentuk karnival dengan pelbagai aktiviti dan jualan bagi memeriahkan suasana di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini bertujuan untuk menggalakkan mahasiswa, mahasiswi serta warganya menguasai bidang keusahawanan selaras dengan elemen Entrepreneurial atau kemahiran keusahawanan dalam atribut HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) USM.
Dalam pada itu, program ini juga diharap dapat menjadi medium dalam membina kemahiran komunikasi antara mahasiswa serta mahasiswi terlibat, selaras dengan elemen Articulate melalui atribut Komunikasi.
Selain daripada 25 gerai jualan yang tersedia di mana 12 daripadanya adalah milik warga USM sendiri, turut diadakan dalam program dari 21 hingga 23 Jun 2024 ini adalah aktiviti seperti kayak, Air Dry Clay, DIY Beads, Car Boot Sale, Rumah Hantu serta Zoo Mini.
Antara yang paling menarik perhatian adalah kolaborasi program ini dengan Toyota Gazoo Racing (TGR) Tour 2024 yang membawa simulasi perlumbaan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman sebenar dalam mengendalikan kereta lumba selama dua hari bermula dari 21 Jun 2024.
Selain daripada itu, program ini turut berkolaborasi dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan, USM melalui program Glow in The Dark Run, sebuah program larian yang akan diadakan pada 22 Jun 2024 dengan tema neon lights.
Program ini diharap dapat meningkatkan potensi mahasiswa serta mahasiswi Kampus Kejuruteraan USM dalam bidang keusahawanan sambil meningkatkan kemahiran komunikasi serta membantu meredakan tekanan dalam diri pelajar, khasnya pada hujung minggu.
Malah, ianya juga diharap dapat memupuk nilai kerjasama serta meningkatkan kemahiran bekerja secara berkumpulan dalam kalangan MPDJLU demi kelancaran program.
Artikel merupakan sumbangan saudara Azriq Rashid bin Hussin. Beliau merupakan pelajar tahun 2 Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Pengarah program RI-OOH KEJUT 2024.