INSPIRASI PENGARAH SERC, PROFESOR DR. MOHD AZMIER AHMAD BERSAMA KOMUNITI SMK PEKAN BARU
NIBONG TEBAL, 24 Jun 2024 – Dalam menyokong usaha Universiti Sains Malaysia (USM) mempereratkan hubungan dengan komuniti, Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad hadir memberi inspirasi sempena majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru baru-baru ini.
Mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, beliau berkongsi pengalaman sebagai pelajar, pendidik, dan juga waris kepada warga SMK Pekan Baru sambil menekankan pentingnya menjaga keberkatan dalam menimba ilmu pengetahuan.
“Hilang keberkatan pelajar apabila pendidik dan pihak sekolah terpaksa menjaga hati pelajar lebih daripada pelajar menjaga hati pendidik dan nama baik sekolah.
“Begitu juga hilang keberkatan anak jika ibu bapa terpaksa menjaga hati anak lebih daripada anak menjaga hati ibu bapanya,” kata beliau dalam majlis yang dihadir oleh lebih kurang 250 orang guru dan ibu bapa ini.
Azmier turut menegaskan pentingnya disiplin dan niat yang betul dalam menuntut ilmu.
“Pentingnya untuk seorang pelajar itu berdisiplin dan menjaga masa terutamanya dengan niat untuk belajar, seterusnya menggembirakan ibubapa serta guru yang pastinya akan membuahkan kejayaan gemilang kepada diri masing-masing,” tambahnya.
Majlis yang diadakan di Auditorium Kampus Kejuteraan tersebut turut diserikan dengan ucapan daripada Pengetua sekolah tersebut, Encik Abdul Wahid Shafihee yang menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak USM atas sokongan berterusan selama ini.
“Pihak USM telah banyak memberi dorongan kepada pelajar SMK Pekan Baru untuk terus berusaha mencipta kejayaan demi membangun masa depan yang berkualiti dan mampan,” ujar beliau pada majlis yang diadakan pada 21 Jun baru-baru ini.
Selain diharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah, majlis ini juga bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian pelajar sambil menggalakkan mereka agar terus berusaha mencapai kejayaan lebih cemerlang di masa hadapan.
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim