LAWATAN AKREDITASI EAC: USM SASAR KEPUTUSAN POSITIF UNTUK EMPAT PROGRAM KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 26 Jun – Universiti Sains Malaysia (USM) sasar maklum balas positif sempena lawatan Lembaga Jurutera Malaysia (EAC) ke Kampus Kejuruteraan dalam menilai semula beberapa program kejuruteraannya di sini hari ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab, mewakili Naib Canselor USM pada sesi pembukaan lawatan tersebut, yang turut dihadiri oleh Pengarah Kampus dan Ketua-ketua Jabatan Kampus Kejuruteraan ini.
“Semoga lawatan kali ini akan berjalan lancar, seterusnya mencapai keputusan seperti yang diharapkan ke atas empat program dalam penilaian iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Mekatronik), Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Kimia), Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Polimer), dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Awam),” kata beliau.
“Apatah lagi pada lawatan yang berlangsung pada 14 dan 15 Jun 2023 sebelum ini, satu daripada tujuh program yang dinilai berjaya mendapat akreditasi selama enam tahun, manakala enam program lagi diberikan akreditasi enam tahun dengan interim,” tambah Habibah.
Sementara itu, Pengarah Kampus, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, dalam sesi yang sama menyatakan hasrat USM sebagai sebuah Universiti Awam (UA) untuk menerajui masyarakat melalui penyelidikan dan inovasi.
“Demi mencapai matlamat ini, kami bersedia memberikan sepenuh komitmen untuk memastikan program-program kejuruteraan di sini mendapat pengiktirafan yang sewajarnya dan memenuhi piawaian yang ditetapkan,” kata beliau.
Azlina turut menekankan pentingnya Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MRI3) dalam mendukung visi ini yang kelak akan memperkukuhkan nilai graduan dengan kemahiran ‘sharp-skill’ dan ‘smart-skill’, bertepatan dengan keperluan industri di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya.
“Sebagai sebuah IPTA, tanggungjawab kita bukan sekadar memastikan jumlah graduan mencukupi seiring dengan permintaan industri, tetapi mereka juga perlu mereka cemerlang dalam pelajaran serta mampu berkomunikasi dengan baik dalam dunia pekerjaan sebenar nanti,” tambah beliau.
Lawatan Penilaian Akreditasi daripada Lembaga Jurutera Malaysia (EAC) pada kali ini melibatkan 15 orang panel penilai dari EAC Malaysia dan diketuai oleh Ir. Profesor Dr. Law Chung Lim.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman