REDAC, PPKEE USM HADIR DI PENYAMPAIAN DOKUMEN NOTA KERJASAMA STRATEGIK DAN SIJIL RAKAN STRATEGIK SEMPENA PERSIDANGAN INDUSTRI ASAS TANI KEBANGSAAN 2024
SHAH ALAM, 25 Jun 2024 – Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai Dan Saliran Bandar (REDAC) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) baru-baru ini hadir di Majlis penyampaian Dokumen Nota Kerjasama Strategik dan Sijil Rakan Strategik sempena Persidangan Industri Asas Tani Kebangsaan 2024.
Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Badrul Hisyam Mohd, yang mewakili Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia.
Universiti Sains Malaysia (USM) melalui REDAC, diwakili oleh Pengarahnya, Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol, dan Profesor Adjunct Dr. Roslan Zainal Abidin manakala PPKEE diwakili oleh Profesor Dr. Ir. Mohd Fadzil Ain yang turut hadir untuk program Kerjasama Penyelidikan Tenaga Hijau untuk Sektor Pertanian.
Menurut Remy, kehadiran USM pada majlis yang diadakan ini membuktikan komitmen dan kesungguhan universiti untuk memperkukuhkan sektor pertanian negara melalui kerjasama strategik dan inovasi.
“Saya turut berbesar hati dan bangga untuk menjadi sebahagian daripada langkah penting ini, dalam memastikan pembangunan sektor pertanian, khususnya di kawasan tanah tinggi dapat dilaksanakan secara lestari dan mampan kelak,” kata beliau.
“REDAC, dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan juga, akan terus menjalankan penyelidikan yang bermutu tinggi sebagai salah satu usaha dalam mengurangkan impak negatif aktiviti pertanian terhadap alam sekitar sambil meningkatkan hasil dan produktivitinya,” tambah Remy.
Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian ini berlangsung di Hotel Mardiyyah, Shah Alam dan dihadiri oleh seramai 200 orang secara fizikal serta 200 orang lagi secara dalam talian.
Teks dan foto adalah sumbangan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai Dan Saliran Bandar (REDAC).
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim