EKSPLORASI BIDANG KEJURUTERAAN KIMIA, 64 MURID DARI AKADEMI SAINS PENDANG LAWAT PPK KIMIA USM
NIBONG TEBAL, 1 Julai 2024 – Dalam usaha memperkayakan pengalaman pembelajaran sambil menerima pendedahan awal akan bidang kejuruteraan kimia, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) hari ini menerima lawatan daripada 64 orang murid tingkatan 4, Akademi Sains Pendang.
Sesi dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang berharap agar lawatan ini membuka mata murid-murid terlibat mengenai bidang kejuruteraan, khususnya Kejuruteraan Kimia.
Selain daripada itu, pengalaman ini juga menurut beliau akan memberikan gambaran jelas kepada semua yang hadir akan kehidupan di sebuah universiti sebelum benar-benar menjejakkan kaki sebagai pelajar di masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Panitia Kimia Akademi Sains Pendang, Cikgu Muhammad Irfan Abd Aziz, yang mewakili pengetuanya menjelaskan bahawa Akademi Sains Pendang adalah sebuah sekolah berasrama penuh yang ditubuhkan khusus untuk murid program Pendidikan Pintar Cerdas (PPPC).
Menurut beliau, seawal usia 12 tahun, murid-murid telah didedahkan dengan subjek fizik, kimia, dan biologi dan kunjungan ini diharap dapat dapat digunakan sebaik mungkin untuk bertanya sebarang soalan yang ada agar dapat menjadi pemangkin kepada minat mereka kelak.
Tambah beliau, selain daripada memberikan pendedahan kepada peserta akan bidang Sains Kimia, kunjungan ini juga diharap dapat memberikan mereka pengalaman secara langsung tentang kemudahan serta teknologi yang terdapat di pusat pengajian.
Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ts. Chm. Dr. Ahmad Zuhairi Abdullah dalam ucapannya, menekankan kepentingan pendedahan awal kepada bidang kejuruteraan kimia bagi membina minat dan kefahaman pelajar terhadap bidang ini.
Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti eksperimen dan lawatan ke makmal juga akan memberi murid peluang untuk melihat sendiri aplikasi praktikal serta teori sebenar yang sering digunakan di pusat pengajian selama ini.
Menurut beliau, aktiviti yang dirancang untuk pelajar akan menjadi satu titik pendedahan kepada mereka akan bidang Kejuruteraan Kimia.
Selain aktiviti Lawatan Makmal serta Ekperimentasi, aktiviti yang dijalankan sepanjang sesi kunjungan adalah Perkongsian Pengalaman Pembelajaran bagi kursus Wastewater Treatment Engineering dan Taklimat Program Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman