Skip to main content

TAKLIMAT KKP USM, TINGKATKAN KESEDARAN DAN TANGGUNGJAWAB KETUA JABATAN DAN JKKP KAMPUS KEJURUTERAAN

DSC 9957

NIBONG TEBAL, 30 Julai 2024 – Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengadakan Taklimat Kesedaran dan Tanggungjawab Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Majlis yang disasarkan kepada Dekan-dekan, Ketua-ketua Jabatan dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kampus Kejuruteraan ini dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin.

DSC 9939 DSC 9941

Azlina melalui ucapannya menyuarakan keprihatinan beliau akan kepentingan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam meningkatkan kecemerlangan organisasi, khususnya di Pusat-pusat Pengajian Kejuruteraan yang berisiko tinggi.

“Para pekerja merupakan aset penting dalam sesebuah organisasi.

“Dalam memberikan perkhidmatan berkualiti, majikan bertanggungjawab untuk menyediakan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Management System) yang berkesan dan teratur, sejajar dengan kehendak perundangan KKP negara,” kata beliau.

"Persekitaran tempat kerja yang kondusif pula akan membolehkan mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih selesa, selamat, dan sihat, selain menjamin keselamatan serta kesihatan orang awam yang berada berhampiran dengan tempat kerja tersebut," tambah Azlina.

DSC 9951 DSC 9946

 Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa majikan yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara langsung akan memberikan impak positif dalam mengurangkan bahaya dan risiko di tempat kerja.

“Ia seterusnya akan mengawal jumlah kemalangan, serta penyakit pekerjaan sambil meningkatkan produktiviti dan kepuasan bekerja kakitangan, sekaligus meningkatkan pencapaian dalam sesebuah organisasi,” tambah beliau lagi.

Namun demikian, beliau turut menegaskan agar usaha ini mendapat komitmen penuh pekerja dalam mematuhi sistem pengurusan KKP yang disediakan oleh majikan bagi memastikan amalan budaya kerja selamat serta sihat dapat diterapkan secara menyeluruh serta berkesan.

Beliau juga menyarankan agar setiap Ketua Jabatan memberi penekanan terhadap keselamatan, kesihatan, dan kebajikan staf di jabatan masing-masing demi penambahbaikan berterusan pengurusan KKP di universiti.

“Pastikan aspek keselamatan serta kesihatan di USM terpelihara dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” tegas Azlina.

Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada program ini disampaikan oleh Penolong pemeriksa kilang dan jentera Pulau Pinang, Encik Buvaneswaran a/l Ramasamy.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman