Skip to main content

IR. TS. DR. MUHAMMAD HAFIZ HASSAN TERPILIH JALANI PROGRAM MOBILITI PENYELIDIKAN DI ATTARAT POWER COMPANY (APCO), JORDAN

20240807 153646

14 Ogos 2024 –Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia, Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan telah terpilih untuk menjalani Program Mobiliti Penyelidikan di Attarat Power Company (APCO), Jordan selama dua minggu bermula 27 Julai hingga 9 Ogos 2024 baru-baru ini.

Program mobiliti penyelidikan yang dijalani oleh Dr. Muhammad Hafiz ini merupakan anjuran Education Malaysia Jordan (EMJ) dan dibiayai oleh pihak APCO, Jordan serta Universiti Sains Malaysia melalui Skim Insentif Pengantarabangsaan (I2S).

Projek ini juga adalah satu pelaburan tenaga yang besar di Jordan yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan negara tersebut terhadap import tenaga sambil memperkukuhkan keselamatan tenaganya.

IMG 20240807 WA01531

Selain daripada itu, program mobiliti penyelidikan ini turut diharap dapat memberi peluang kepada penyelidik muda dari Malaysia untuk menyumbangkan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul sepanjang lawatan industri tersebut.

"Program mobiliti ini bagus dan sangat berguna kepada penyelidik muda seperti saya,” kata Hafiz.

“Ianya dapat mengukuhkan hubungan dan mengaplikasikan dapatan kajian yang diperoleh di peringkat antarabangsa dan saya berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang," kata beliau.

Menurut Hafiz lagi, sepanjang program dijalankan, para penyelidik turut dibawa untuk meninjau pengoperasian loji jana kuasa serta didedahkan dengan masalah-masalah yang sering berlaku di lapangan.

20240807 093531 1 IMG 20240807 WA0045

“Malah, beberapa projek telah dipersetujui untuk diteruskan ke peringkat seterusnya dan kelak akan diaplikasikan oleh pelajar tahun akhir sebagai projek tahun akhir mereka yang seterusnya dapat diaplikasikan di lapangan dan diiktiraf oleh pihak industri,” ulas Hafiz.

Merupakan sebuah syarikat tenaga yang berpangkalan di Jordan, Attarat Power Company (APCO) adalah peneraju utama dalam pembangunan projek loji janakuasa tenaga syal minyak pertama negara tersebut.

Syarikat ini ditubuhkan untuk mengurus dan mengendalikan projek Attarat, dengan matlamat memanfaatkan sumber syal minyak yang banyak terdapat di kawasan tersebut sebagai bahan bakar utama untuk penjanaan elektrik.

Teks: Siti Faizah Abd Halim dan Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri)

Foto sumbangan Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan