Skip to main content

SESI TOWNHALL ANJURAN KANITA, KE ARAH DASAR KESAKSAMAAN GENDER

DSC 0957

Nibong Tebal, 14 Ogos 2024 – Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuhkan dasar kesaksamaan gender dengan mengadakan Sesi Townhall Dasar Kesaksamaan Gender di Kampus Kejuruteraan hari ini.

Program yang julung kalinya diadakan di Kampus Kejuruteraan ini merupakan inisiatif penting yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Dasar Kesaksamaan Gender (DKG) USM dan diketuai oleh Pusat Pengarahnya, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada AJK Dasar Kesaksamaan Gender atas usaha gigih mereka dalam memastikan semua pihak untuk memahami maksud sebenar tentang kesaksamaan gender.

DSC 0931 DSC 0953

DSC 0953 DSC 0966

“Sesi ini akan menjadi platform untuk membantu setiap warga Kampus Kejuruteraan dalam memahami akan isu-isu yang berkaitan dengannya juga,” kata beliau.

“Sesi perbincangan kumpulan berfokus (FGD) yang akan diadakan sesama kakitangan terpilih pula, dapat membuka peluang untuk mereka menyuarakan pendapat dan berkongsi aspirasi masing-masing demi USM yang adil, saksama, dan cemerlang kelak,” jelas beliau.

Di samping itu, Azlina turut menyatakan bahawa Wanita pada hari ini tidak boleh lagi dilihat sebagai pengisi ruang dan kuota semata-mata, sudah tiba masanya untuk mereka dinilai berdasarkan kelayakan akademik, kemahiran, dan kebolehan masing-masing.

Namun, beliau turut melihat sambil menekankan bahawa isu kesaksamaan gender bukan hanya melibatkan wanita, tetapi turut merangkumi cabaran yang dihadapi oleh lelaki, di mana dasar yang akan dilaksanakan kelak, harus bersifat inklusif sambil mengambil kira keperluan semua pihak.

DSC 0987 DSC 1028

DSC 1014 DSC 1010

“Sokongan kolektif dan kesedaran mendalam akan Dasar Kesaksamaan Gender ini pastinya dapat membawa perubahan positif dalam budaya kerja dan pembelajaran di seluruh kampus USM,” kata Azlina

"Marilah kita sama-sama menjadikan USM sebagai institusi contoh yang unggul, bukan sahaja dalam akademik serta penyelidikan, tetapi juga dalam usaha untuk memperkukuhkan kesaksamaan yang adil untuk semua warganya," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Pengarah KANITA, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd dalam ucapannya berkata dasar kesaksamaan gender dapat mencipta peluang yang adil dan saksama bagi semua kakitangan dalam memiliki ruang persekitaran yang harmoni untuk kehidupan yang lebih sejahtera.

“Pemerkasaan gender perlu dipraktikkan di setiap institusi, yang mana satu dasar kesaksamaan gender boleh dibangunkan dan diguna pakai untuk seluruh kampus, staf dan juga pelajar," tambah beliau.

Taklimat Sesi Townhall Dasar Kesaksamaan Gender yang dihadiri oleh lebih kurang 100 orang warga Kampus Kejuruteraan ini disampaikan oleh Pensyarah KANITA, Profesor Dato' Dr. Noraida Endut.