Skip to main content

NAIB JUARA KESELURUHAN, USM CEMERLANG DI SUKUM 2024

IMG 20240816 WA0048

KOTA KINABALU, 16 Ogos 2024 – Kejohanan Sukan Staf antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) ke-45 yang melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menjadi naib juara dengan kutipan 44 pingat secara keseluruhan.

Lebih membanggakan, USM berjaya meraih 15 pingat emas, 10 pingat perak, dan 19 pingat gangsa, hanya ketinggalan 1 pingat dalam jumlah keseluruhan dan 6 pingat perak berbanding Universiti Putra Malaysia (UPM), yang berada di tempat pertama.

Sebanyak 23 acara sukan telah dipertandingkan dalam kejohanan ini, dengan 139 pingat menjadi rebutan antara 21 kontinjen universiti yang bertanding.

Antara acara yang telah menyumbangkan pingat emas kepada USM pada SUKUM ke-45 ini termasuk Olahraga 4x400m (Lelaki Veteran), Sepak Takraw Lelaki (Veteran), Olahraga 1500m (Wanita Super Senior Veteran), Olahraga 400m (Wanita Veteran) dan Olahraga 1500m (Lelaki Super Senior Veteran).

455968455 122167570814187151 8158704133139402772 n

Turut menyumbang emas adalah acara Bola Sepak Senior, Tenpin Boling Berpasukan Lelaki, Olahraga 4x200m (Wanita Veteran), Ping Pong Perseorangan Lelaki Veteran, Ping Pong Beregu Lelaki Veteran, Ping Pong Beregu Campuran, Badminton Beregu Lelaki Veteran, dan Basikal MTB Individu Veteran (Lelaki).

Edisi kali ini menyaksikan USM membawa sejumlah 227 atlet dan pegawai, kontinjen terbesar antara universiti-universiti awam yang bertanding dalam kejohanan tersebut yang diketuai oleh Pendaftar, Mohd Azizuddin Mohd Shariff.

SUKUM 2024 telah berlangsung selama 10 hari di UMS, bermula dari 8 Ogos dan berakhir pada 16 Ogos 2024.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto sumbangan Salasiah Zakaria (Staf Perpustakaan Hamzah Sendut USM)