Skip to main content

BERSAMA MENGEJAR IMPIAN: KEMBAR SEIRAS ANTARA YANG DITERIMA MASUK KE KEJURUTERAAN USM BAGI SIDANG 2024/2025

DSC 6299

NIBONG TEBAL, 6 Oktober 2024 – Dua pelajar kembar, Wan Yazafrina dan Wan Yazafriana Wan Yazairi, hari ini telah melakar sejarah peribadi apabila berjaya mendaftar sebagai pelajar baharu di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).

Berusia 19 tahun, kedua-dua mereka yang merupakan bekas pelajar program Asasi Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, kini akan memulakan perjalanan akademik baharu dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dengan Kepujian.

Sejak kecil, minat mendalam terhadap bidang kejuruteraan menjadi pendorong utama mereka dalam mencapai impian tersebut.

“Kami berdua telah lama bercita-cita untuk menjadi jurutera di mana minat ini mula timbul apabila kami sering melibatkan diri dalam projek sains di sekolah sekolah menengah sebelum ini,” jelas Yazafrina.

DSC 6265

DSC 6276

Ketika mengisi permohonan melalui Unit Pusat Universiti (UPU), Kampus Kejuruteraan USM telah menjadi pilihan pertama mereka dan kembar tak seiras ini menyatakan rasa syukur kerana berpeluang melanjutkan pengajian di universiti ternama seperti USM.

"Kampus Kejuruteraan USM terkenal dengan programnya yang berkualiti serta penyelidikan yang cemerlang dan kami sangat teruja untuk menyambung pengajian di sini,” kata beliau lagi.

Dalam temubual tersebut, kembar ini turut berkongsi azamdan tekad untuk untuk mencapai kecemerlangan dan meneroka lebih banyak peluang melalui pelbagai program serta aktiviti yang ditawarkan oleh universiti selama empat tahun akan datang.

DSC 6341

DSC 6434

Sementara itu, bapa kembar tersebut, Wan Yazairi Wan Yazid (50), meluahkan rasa syukur dan bangga apabila kedua-dua anaknya diterima masuk ke universiti impian mereka.

“Saya sangat bersyukur apabila kedua-dua anak saya diterima masuk ke universiti yang sama iaitu USM kerana mereka memang tidak pernah berpisah sejak kecil sehingga kini, dan ini adalah pengalaman yang sangat bermakna buat mereka,” ujar beliau.

Beliau turut berharap agar anak-anaknya dapat mengambil setiap pengalaman di USM sebagai langkah pertama menuju kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

"Sebagai ayah, saya yakin mereka telah bersedia untuk mencapai kejayaan di USM dan seterusnya cemerlang dalam bidang yang menjadi pilihan mereka ini!” tambah Yazairi.

Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri)  Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

Suntingan: Siti Faizah Abd Halim