728 PELAJAR BAHARU KAMPUS KEJURUTERAAN USM DIGESA BINA HUBUNGAN HARI INI DEMI RANGKAIAN PROFESIONAL HARI ESOK
NIBONG TEBAL, 3 Oktober 2024 – Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dalam ucapan sempena sesi pelajar baharu di Kampus, menekankan kepentingan hubungan dan rangkaian yang terjalin antara pelajar, pensyarah, dan rakan-rakan.
Menurut beliau, hubungan ini bukan sahaja membantu dalam pembelajaran, tetapi juga berpotensi menjadi asas kepada rangkaian profesional yang berguna pada masa hadapan kerana ianya penting dalam membuka peluang dalam kerjaya mereka kelak.
“Pelajar perlu sentiasa terbuka untuk belajar dan berkembang sebagai individu serta bersedia menghadapi cabaran yang mendatang dengan ketahanan dan kegigihan yang tinggi,” kata Azlina.
Dalam ucapan tersebut, beliau juga menekankan pentingnya pelajar mengasah ciri-ciri keusahawanan, yang bukan bermaksud menjadi peniaga, tetapi kemampuan untuk berfikir secara inovatif, kritis, dan mencari penyelesaian kepada masalah.
Selain itu, Dr. Azlina mengingatkan pelajar untuk mengembangkan disiplin dan sahsiah profesional yang tinggi di mana menurut beliau, sebagai seorang jurutera, selain kompetensi teknikal, mereka juga perlu mempelajari etika kerja dan nilai murni.
Bagi Azlina, peribadi yang beretika dan berakhlak tinggi adalah penting dalam setiap tindakan yang anda lakukan dan sentiasalah mencerminkan nilai-nilai ini dalam setiap aspek kehidupan masing-masing.
Mengakhiri ucapan beliau, Azlina mengingatkan pelajar agar menghargai pengorbanan ibu bapa mereka yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi dalam mencapai kejayaan di samping menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk anda terus berusaha dan mencapai kejayaan.
Pada sesi 2024/2025 kali ini, Kampus Kejuruteraan USM telah menerima kemasukan sejumlah 728 pelajar.
Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri) Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim