Skip to main content

SAMBUTAN HARI KESIHATAN MENTAL 2024 TEKANKAN KEPENTINGAN KESIHATAN MENTAL DI TEMPAT KERJA

DSC 0520

NIBONG TEBAL, 23 Oktober 2024 – Gabungan Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Seberang Jaya dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan pelbagai agensi serta pihak berkuasa tempatan hari ini berjaya menganjurkan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024.

Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr. Shameni a/p Sunasundram ketika merasmikan program tersebut berkata, golongan pekerja lazimnya menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja berbanding masa untuk bersosial atau bersama keluarga.

“Ini meningkatkan risiko mereka untuk mengalami kelesuan bekerja (burnout) yang seterusnya berdepan masalah kesihatan mental berbanding mereka yang tidak bekerja.

"Sekiranya masalah ini tidak ditangani atau dirawat dengan segera, ia boleh membawa kerugian besar kepada individu, keluarga, dan juga organisasi tempat mereka bekerja," tegas beliau.

DSC 0476 DSC 0412

DSC 0333 DSC 0343

Mengangkat tema ‘Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja’, Shameni turut berharap agar sambutan tahun ini dapat mengurangkan tanggapan negatif dan stigma yang masih wujud terhadap isu-isu berkaitan kesihatan mental, terutamanya dari kalangan mereka yang sedang bekerja.

“Sambutan kali ini mengingatkan majikan dan pekerja tentang keperluan untuk menjaga keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.

“Penekanan perlu diberikan kepada pentingnya untuk mewujudkan suasana kerja yang lebih menyokong, menggalakkan perbincangan terbuka mengenai kesihatan mental, dan menyediakan sokongan profesional bagi mereka yang memerlukan,” ujar Ketua Kluster Hospital Seberang Perai ini.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina binti Harun @ Kamaruddin dalam ucapannya menegaskan bahawa masih ramai individu yang segan untuk berbincang tentang isu kesihatan mental, mungkin kerana berada dalam fasa penafian (denial).

DSC 0453 DSC 0339

DSC 0550 DSC 0582

"Ramai yang tidak ingin mengakui bahawa mereka sedang melalui masa yang sukar, di mana pada awalnya, mungkin tidak begitu ketara, tetapi jika dibiarkan terlalu lama tanpa rawatan, ia boleh menjadi masalah yang serius," katanya.

Menurut Azlina, mengabaikan isu kesihatan mental bukanlah satu penyelesaian. Justeru itu, masyarakat perlu mewujudkan ruang yang selamat di mana individu boleh berkongsi masalah mereka tanpa rasa malu atau segan, serta mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Tambahnya lagi, walaupun kita bukan dari bidang perubatan atau psikologi, pengetahuan asas mengenai kesihatan mental amat penting.

“Ia bukan sahaja membantu memupuk empati terhadap individu yang berdepan dengan masalah tersebut, tetapi juga mendidik kita untuk lebih peka terhadap tanda-tanda yang mungkin dialami oleh ahli keluarga atau rakan terdekat,” ujar beliau.

Tambah beliau, USM turut berkongsi mengenai inisiatif yang tersedia kepada staf universiti melalui akses kepada sesi kaunseling atau bantuan psikologi melalui sistem Campus Online di mana warga kampus boleh memilih untuk berjumpa pegawai psikologi, panel psikologi, atau ahli AKRAB yang telah dilatih, melalui perkhidmatan myCounselling USM.

DSC 0616 DSC 0620

DSC 0656 DSC 0675

“Untuk pelajar pula, aplikasi MyGuide yang diperkenalkan dalam sistem Campus Online membolehkan mereka mendapat sesi bantuan kaunseling awal daripada Unit Kaunseling Pelajar Kampus Kejuruteraan kita yang juga merupakan rakan kerjasama dalam program pada hari ini,” tambah Azlina.

Sementara itu, Pengerusi Program, Dr. Alex Chong Wei Hern dalam ucapannya menyatakan bahawa salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh pekerja selepas pandemik adalah perubahan mendadak dalam persekitaran pekerjaan.

“Isu kekurangan kakitangan contohnya, bukan sahaja memberi tekanan besar kepada pekerja yang ada, malah turut menyumbang kepada masalah seperti kes buli, konflik di tempat kerja, serta ketidak cukupan gaji bagi menampung kos sara hidup” kata beliau.

“Oleh itu, program ini menekankan pentingnya penjagaan kesihatan mental dalam kalangan pekerja untuk kita sama-sama mengatasi masalah ini,” tambah Alex.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman