HARI BERSAMA PELANGGAN, RUANG MAKERSPACE@ENGLIB DAN PORTAL SUDUT PROFESOR PERPUSTAKAAN KEJURUTERAAN TARIKAN BAHARU PELAJAR
NIBONG TEBAL, 22 Oktober 2024 – Ruang MakerSpace@Englib dan Portal Sudut Profesor adalah dua inisiatif baharu Perpustakaan Kejuruteraan yang menyediakan platform kreatif untuk pelajar meneroka dunia kejuruteraan dan reka bentuk serta menawarkan akses mudah kepada hasil penyelidikan pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan.
Pelancaran kepada dua inisiatif baharu ini telah diadakan oleh di Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan sempena dengan program Hari Bersama Pelanggan yang akan berlangsung sehingga 24 Oktober ini.
Dirasmikan oleh Ketua Pustakawan, Puan Arinawati, yang mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, program yang juga dikenali sebagai MyEngLib ini merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara warga kampus, khususnya dalam kalangan staf dan pelajar.
Dalam ucapannya, Arinawati menekankan pentingnya ruang yang telah direka bagi meningkatkan keselesaan pelajar dalam proses pembelajaran dan interaksi sosial.
“Ruangan ini telah dirancang sebelum penularan wabak Covid-19 lagi, namun, selepas melalui pelbagai cabaran dan penyesuaian, hari ini, ianya boleh digunakan sepenuhnya oleh pelajar,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyatakan harapannya agar program ini menjadi platform perkongsian ilmu dan idea sambil memperbaiki imej dan prestasi perpustakaan.
“Pelbagai program menarik juga telah diatur untuk menggalakkan penyertaan dan interaksi dalam kalangan warga kampus selepas ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan Kejuruteraan, Puan Sukmawati Muhamad mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu dan staf yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Kehadiran semua pihak telah menjadikan majlis ini lebih bermakna dan menggambarkan komitmen perpustakaan dalam memperkukuhkan hubungan dengan semua pengguna," kata beliau.
Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang kali ini seperti Gerai Perkhidmatan Perpustakaan, Kempen Derma Darah, Free Breakfast Corner, Kursus Intensif Research Support Training, Funcorner, serta Open Day Makerspace.
Pada majlis yang sama, turut berlangsung acara penyampaian hadiah kepada pemenang 3D Smart Innovation Contest yang telah diadakan bermula 10 Jun 2024 hingga 31 Julai 2024 sebelum ini.
Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri) / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim