USM DAN JABATAN PERTANIAN MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA UNIVERSITAS BRAWIJAYA, INDONESIA DALAM PENGURUSAN PERTANIAN MAMPAN
NIBONG TEBAL, 21 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) baru-baru ini telah memperkukuhkan kerjasama dengan Universitas Brawijaya (UB), Malang, Indonesia dalam Pengurusan Pertanian Mampan.
Kerjasama ini turut melibatkan Jabatan Pertanian Malaysia dan merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 4 Mac 2022 dalam usaha memperluaskan jaringan kerjasama dalam bidang teknologi pertanian dan pencegahan hakisan di tanah tinggi.
Susulan daripada MoU ini, satu lawatan teknikal ke Indonesia telah dianjurkan dari 1 hingga 5 Oktober 2024 dengan tujuan untuk meneroka peluang kerjasama baru dalam bidang pertanian mampan, khususnya dalam mengatasi masalah hakisan tanah yang disebabkan oleh aktiviti penanaman.
Kursus Jangka Pendek berkaitan Pengurusan Pertanian Mampan di Indonesia untuk Tanah Tinggi dan Tanah Rendah yang ianya dirasmikan oleh Profesor Dr. Ir. Imam Santoso selaku wakil Rektor Bidang Akademik UB.
Kursus ini memberi fokus kepada pendekatan mampan dalam pengurusan pertanian di kawasan tanah tinggi dan tanah rendah.
Selain itu, kerjasama juga diperluas dengan Fakultas Pertanian Universitas Brawijaya serta DINAS Tanaman Pangan Hortikultura dan Perkebunan Kabupaten Malang, khususnya Balai Penyuluh Pertanian (BPP) Kecamatan Poncokusumu.
Usaha bersama ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam pengurusan pertanian mampan di tanah tinggi, dengan memfokuskan kepada kaedah pencegahan hakisan dan penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian.
Mengulas akan usaha bersama ini, Pengarah REDAC, Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol berkata, ianya sangat penting untuk memastikan kelestarian pertanian di kawasan tanah tinggi.
“Ia bukan sahaja membantu dalam meningkatkan hasil pertanian, tetapi juga dapat meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar khususnya dalam pencegahan hakisan tanah,” kata beliau.
“Semoga kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia ini akan memperkukuh hubungan serantau melalui perkongsian maklumat, teknologi, kepakaran, dan kemudahan dalam bidang pertanian serta pengurusan alam sekitar,” tambah beliau.
Antara pembentangan yang menarik perhatian dalam kursus tersebut adalah Introduction to Sustainable Agriculture in Indonesia: Case Study on Apple Cultivation oleh Profesor Dr. Agr. Sc. Hagus Tarno; Pioneering Sustainable Urban Stormwater Management: USM Engineering Campus, Penang oleh Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol dari USM; Climate Change Challenge for Small Scale Agriculture in East Java, Indonesia oleh Profesor Madya Dr. Karuniawan Puji Wicaksono; Garis Panduan Pembangunan Pertanian di Tanah Bercerun oleh Encik Mustadza Shukor dan Forecasting Landslides with Regards to Rainfall Erosivity & Soil Erodibility oleh Profesor Dr. Roslan Zainal Abidin.
Teks dan Foto: Junaidah Abdullah
Suntingan: Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri) dan Muiz Syafiq Md Hassam (Pelajar Latihan Industri)