Skip to main content

KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT, LANGKAH USM BENTUK GRADUAN HOLISTIK

DSC 0716

NIBONG TEBAL, 24 Oktober 2024 – Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan sesi Taklimat dan Penyerahan Pelajar Kokurikulum Berkredit bagi Semester 1, Sidang Akademik 2024/2025.

“Program ini bertujuan memperkenalkan pelajar kepada kursus kokurikulum yang bakal diikuti, selain memberi penjelasan mengenai objektif pembelajaran serta peranan kursus ini dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang holistik,” kata Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor.

Ditemui selepas majlis berlangsung, Timbalan Pengarah PRK Kampus Kejuruteraan ini turut menegaskan kepentingan kokurikulum berkredit dalam membina kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

“Sesi ini pula diharap dapat mencapai hasil pembelajaran yang disasarkan sambil memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar di luar bilik kuliah,” katanya.

DSC 0694 DSC 0784

DSC 0857 DSC 0913

“Apatah lagi, kursus kokurikulum berkredit ini perlu untuk pelajar memenuhi keperluan unit pengijazahan di bawah Kursus Keperluan Universiti dan Mata Pelajaran Pengajian Umum Kelompok U4 (MPU4),” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pelajar agar memanfaatkan peluang ini untuk belajar sebaik-baiknya.

"Dengan bimbingan jurulatih kokurikulum yang berdedikasi dan berpengalaman, kursus ini diharap dapat membantu pelajar kita di Kampus Kejuruteraan bagi mencapai kemahiran yang relevan dan selaras dengan hala tuju universiti serta negara," tambah Salman.

Seramai 791 pelajar terlibat dalam sesi taklimat serta penyerahan 28 kursus kokurikulum berkredit pada semester kali ini dengan penglibatan daripada 22 orang jurulatih berpengalaman.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman