MAKERSPACE@ENGLIB TARIK PERHATIAN PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN USM
NIBONG TEBAL, 25 Oktober 2024 - Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun@ Kamaruddin, hari ini telah mengunjungi perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melawat ruang Makerspace @Englib.
Menurut Azlina, ruang Makerspace ini merupakan satu inisiatif yang kreatif daripada perpustakaan bertujuan memupuk minat pelajar dalam kejuruteraan dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
“Inisiatif ini dijangka dapat memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara praktikal dan bereksperimen dengan idea-idea yang lebih baharu serta menarik,” kata beliau.
Tambah Azlina lagi, dengan adanya kemudahan seperti pengukir laser dan pencetak 3D, inisiatif ini dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk terlibat dalam projek-projek yang membina kemahiran praktikal.
Azlina juga berharap agar ruang makerspace itu kekal relevan dan menarik minat pelajar untuk terus belajar berinovasi.
Menurut beliau, Ruang Makerspace@Englib di Kampus Kejuruteraan adalah satu inisiatif penting dalam menyokong teras bidang STEM yang menjadi tunjang kepada pembangunan teknologi dan inovasi masa depan.
“Dengan memberi tumpuan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik, ruang ini ini menyediakan platform bagi pelajar dan staf untuk meneroka kreativiti, mengaplikasikan pengetahuan teknikal sambil melaksanakan idea-idea baru,” ujarnya.
“Di sini, kita bukan sahaja membina pelajar yang celik ilmu tetapi juga melahirkan generasi yang mampu mencipta penyelesaian inovatif untuk manfaat masyarakat dan negara di masa akan datang,” tambah Azlina.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Sukmawati Muhammad, menzahirkan rasa syukur dan gembira atas lawatan Profesor Datin Azlina ke Ruang Makerspace@EngLib di Perpustakaan Kampus Kejuruteraan USM.
“Kehadiran Profesor Datin Azlina hari ini sangat bermakna kerana beliau dapat melihat sendiri serta kami berpeluang berkongsi serba sedikit tentang konsep dan fungsi Ruang Makerspace ini,” ujar Puan Sukmawati.
Ruang ini dilancarkan bukan sahaja untuk menyokong pembelajaran STEM dan projek berasaskan teknologi, tetapi juga bertujuan untuk memupuk kemahiran inovasi, dan kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Saya berharap dengan adanya Ruang Makerspace ini, kita bukan sahaja dapat menarik pelajar untuk datang meluangkan masa di perpustakaan, tetapi juga memperkenalkan perpustakaan Kampus Kejuruteraan dalam kalangan komuniti yang lebih luas,” kata Puan Sukmawati.
Tambah beliau, pihak perpustakaan juga berhasrat untuk menjalankan lebih banyak penambahbaikan pada masa akan datang, terutamanya dari segi kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Saya optimis bahawa perpustakaan selepas ini akan terus berkembang selari dengan keperluan para pelajar dan teknologi terkini,” kata Sukmawati.
Teks: Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri) dan Muiz Syafiq Md Hassam (Pelajar Latihan Industri) / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim