Skip to main content

KISAH INSPIRASI MOHAMAD FAZRUL IKMAL, GRADUAN KEJURUTERAAN KIMIA USM

DSC 4796

PULAU PINANG, 24 November 2024 – Mohamad Fazrul Ikmal Aziz, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), membuktikan bahawa Gangguan Spektrum Autisme (ASD) bukan penghalang untuk menamatkan pengajian.

Berusia 25 tahun dan berasal dari Taman Sang Kancil, Lunas, Kedah, Fazrul Ikmal merupakan antara 749 orang graduan kejuruteraan yang diraikan pada sidang 10 Upacara Konvokesyen Ke-62 USM yang diadakan pada hari ini.

Cahaya mata kepada pasangan Encik Aziz Senawi dan Puan Norhayati Hassan ini telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran sejak di bangku sekolah lagi dengan memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dalam jurusan Sains Hayat dan berjaya mencatat PNGK akhir, 3.93 sebelum memulakan pengajian di USM pada 2 September tahun 2018.

Ketika ditemu bual, Fazrul berkongsi akan cabaran terbesar yang dihadapi olehnya sepanjang menyambung pengajian adalah dari sifatnya yang pendiam, seterusnya menjadi halangan untuk berkomunikasi terutamanya dalam melaksananakan tugasan berkumpulan bersama pelajar lain.

“Walaupun demikian, saya sentiasa berusaha mengatasi masalah ini dengan terus mencuba untuk bergaul bersama pelajar-pelajar yang lain di dalam kampus” ujar beliau.

DSC 4792 DSC 4797

“Apatah lagi bila mengenangkan pengorbanan tidak ternilai ibu dan bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam setiap langkah perjalanan hidup saya, khususnya di USM, daripada urusan pendaftaran hinggalah hari-hari akhir sebagai seorang pelajar sebelum ini,” ujar Fazrul.

"Saya malah, akui cabaran diri yang memerlukan masa tambahan untuk menulis berbanding pelajar lain.

“Ibu dan ayahlah yang telah mengambil inisiatif, merayu kepada pihak universiti untuk diberikan masa tambahan kepada saya ketika menjalani peperiksaan,” Kata graduan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia ini.

Ketika bercerita mengenai kenangan manis dan pahit, Fazrul menyatakan bahawa di USM bermulanya episod di mana beliau belajar untuk berdikari dan menguruskan diri buat pertama kalinya kerana beliau sejak kecil tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

“Namun,ianya mampu saya harungi dengan menjaga solat lima waktu, mengurus tekanan dengan baik, dan sentiasa menghantar tugasan yang diberikan oleh pensyarah tepat pada waktunya,” ujarnya.

“Jangan stress ketika belajar dan ingatlah bahawa setiap orang itu berbeza, yang penting kita sentiasa berusaha untuk lulus pada setiap semester,” katanya lagi.

“Selepas ini, saya ingin terus menceburi alam pekerjaan dan memberi kesedaran sambil berkongsi serba sedikit dengan masyarakat tentang pentingnya bidang Kejuruteraan Kimia,” tambah anak bongsu daripada empat bersaudara ini.

Di akhir bicara, Fazrul turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pensyarah yang telah banyak membantunya sepanjang pengajian di sini.

“Jasa para pensyarah selama tempoh beliau di sini amat bermakna dan berharga buat saya,”

“Saya tidak dapat menyatakan seorang demi seorang dari mereka akan tetapi saya tidak akan lupa jasa masing-masing, terutamanya penyelia ketika Projek Akhir Tahun (FYP) dan pensyarah yang mengajar saya pada semester-semester tambahan,” ujar Fazrul.

“Semua pensyarah di sini sangat baik hati,” katanya mengakhiri sesi temu bual.

Teks: Muiz Syafiq Md Hassam (Pelajar Latihan Industri) dan Siti Faizah Abd Halim

Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman