Skip to main content

LAWATAN PELAJAR KOLEJ MARA KUALA NERANG KE KAMPUS KEJURUTERAAN USM MERIAH DENGAN ITENERARI ILMIAH

DSC 5138

NIBONG TEBAL, 3 Disember 2024 - Seramai 66 orang pelajar berserta 2 orang guru pengiring dari Kolej MARA Kuala Nerang (KMKN) telah mengadakan lawatan ke Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan dan gambaran awal kepada para pelajar mengenai bidang-bidang kejuruteraan, selain untuk meningkatkan minat mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berasaskan STEM yang merupakan tunjang utama pendidikan di institusi ini.

Lawatan pada sesi paginya diisi dengan forum interaktif yang berlangsung di Ruang Kolaboratif dan Ruang Pembelajaran Kendiri, yang terletak di Perpustakaan Kampus Kejuruteraan di mana para pelajar dapat berinteraksi secara langsung dengan panel-panel jemputan dalam sesi yang lebih akrab.

DSC 5128 DSC 5161

DSC 5129 DSC 5138

Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan, Encik Mohd Kamil Ashar, bertindak sebagai moderator di dalam sesi yang menampilkan enam orang pensyarah sebagai panel mewakili setiap Pusat Pengajian untuk berkongsi kepakaran serta pengalaman mereka.

Para pensyarah tersebut adalah Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kassim dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Ts. Dr. Farid Ezanee Mohamed Ghazali dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Dr. Mohamad Danial Shafiq dari Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Madya Ir. Dr. Rosmiwati Mohd Mokhtar dari Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dr. Fadzil Noor Gonawan dari Kejuruteraan Kimia dan Dr. Sareh Aiman Hilmi Abu Seman dari Kejuruteraan Mekanik.

Panel dari Pusat Pengajian Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed Kasim yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Promosi Kampus Kejuruteraan ketika ditemui menzahirkan rasa puas hati dengan reaksi positif serta interaktif dari para pelajar KMKN.

DSC 5175 DSC 5174

DSC 5178 DSC 5235

“Gembira melihat maklum balas para pelajar yang begitu berminat mengajukan banyak soalan sepanjang interaksi dua hala dalam forum ini apatah lagi ianya dikendalikan oleh moderator berpengalaman seperti Encik Mohd Kamil,” kata beliau.

Setelah sesi forum, para pelajar juga diberi peluang meninjau perpustakaan kampus yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan interaktif, termasuk ruang pembelajaran yang fleksibel dan akses kepada koleksi bahan rujukan yang pelbagai dan berkualiti.

Pada sesi petang, para pelajar dibawa melawat ke setiap Pusat Pengajian yang ada di kampus tersebut di mana para pelajar diberi peluang melihat sendiri fasiliti dan makmal di setiap pusat pengajian yang dilengkapi dengan teknologi canggih serta kemudahan moden.

DSC 5293 DSC 5336

DSC 5368 DSC 5375

DSC 5388 DSC 5388

Lawatan ini turut dimeriahkan dengan perkongsian mendalam oleh para pensyarah akan ilmu dan pengalaman mereka sambil berinteraksi dengan pelajar dalam memberikan gambaran lebih dekat tentang kehidupan dan pembelajaran dalam bidang Kejuruteraan.

Menurut kaunselor KMKN, Cik Khairul Mardziyah Md Hussain, 39, yang mengiringi rombongan tersebut, pemilihan Kampus Kejuruteraan USM sebagai destinasi lawatan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar.

"Tujuan kami memilih kampus ini sebagai destinasi lawatan ialah sebagai satu persediaan kepada pelajar supaya mereka ada pendedahan awal tentang bidang-bidang dan fasiliti yang ada di sini dan mudah untuk para pelajar membuat pilihan ketika memohon masuk ke universiti kelak,” ujar beliau.

Teks: Muiz Syafiq Md Hassam (Pelajar Latihan Industri) / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

Suntingan: Siti Faizah Abd Halim