PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN RASMIKAN MAKMAL PENCIRIAN XRD DI SERC
NIBONG TEBAL, 10 Disember 2024 – Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin hari ini hadir merasmikan Makmal Pencirian X-ray diffraction (XRD) di Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC).
Bercakap semasa sesi lawatan ke makmal tersebut, Azlina berharap agar fasiliti ini dapat memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pelajar serta penyelidik dalam menganalisis struktur bahan, yang merupakan salah satu aspek penting dalam bidang kejuruteraan.
“Saya percaya bahawa makmal ini juga kelak akan menjadi platform yang membolehkan kita untuk meneroka serta memperkukuh lebih banyak peluang kerjasama bersama dengan pihak industri,” ujar beliau.
“Oleh yang demikian, saya ingin menyeru untuk kita sama-sama memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin.
“Semoga hasil kerja kita seterusnya dapat memberi manfaat secara meluas, bukan sahaja kepada universiti, tetapi juga kepada masyarakat,” tambah Azlina.
Sementara itu, Pengarah SERC, Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad yang mengiringi Pengarah Kampus Kejuruteraan dalam sesi perasmian dan lawatan tersebut berkata, makmal yang menempatkan peralatan Sistem Pembelauan Sinar X (XRD) adalah kemudahan terbaharu di pusat penyelidikan ini.
Menurut beliau, peralatan XRD ini merupakan sebuah peralatan yang digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang struktur kristal bahan, termasuklah aloi, mineral, logam, sebatian organik, seramik, semikonduktor, dan polimer.
“Di sini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan impian kita untuk menubuhkan makmal XRD ini, khususnya kepada pasukan saya di SERC,” ujarnya.
Menurut beliau, makmal XRD ini lebih daripada sekadar sebuah ruang untuk tujuan penyelidikan.
“Makmal peralatan ini mencerminkan dedikasi SERC dalam menjadikan Kampus Kejuruteraan sebagai peneraju dalam hal ehwal inovasi sambil menyediakan kemudahan untuk tujuan penyelidikan yang lebih berkualiti di masa akan datang,” kata Azmier.
Teks: Siti Faizah Abd Halim dan Nur Ezzah Abdul Kahar
Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman