Skip to main content

BAKAT DAN KEMAHIRAN INSANIAH PELAJAR TERSERLAH DALAM PROGRAM PAMERAN STATIK DAN DEMONSTRASI KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT SEM 1 2024/2025

DSC 6887

NIBONG TEBAL, 18 Disember 2024 – Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) dengan kerjasama Kursus Pengurusan Acara (WSC127) Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya menganjurkan program Pameran Statik dan Demonstrasi Kursus Kokurikulum Berkredit Sem 1 2024/2025.

Pameran yang berlangsung di Kafeteria Staf ini melibatkan penyertaan dari pelbagai kursus kokurikulum, termasuk Pengucapan Awam, Kelestarian, Kraftangan, Fotografi, Catan, Integriti dan Anti Rasuah, serta Seni Memasak.

Selain daripada itu, program ini turut dimeriahkan dengan acara demonstrasi seni mempertahankan diri dari beberapa kursus seperti Taekwondo, Karate, dan Silat, serta persembahan muzik oleh para pelajar dari kursus Gitar.

Menurut Timbalan Pengarah PRK, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor, pameran Statik dan Demo Kursus Kokurikulum Berkredit pada semester ini telah berjaya menunjukkan kemenjadian kemahiran dan kemunculan bakat baharu yang dipelajari oleh pelajar kejuruteraan selain di bilik kuliah.

DSC 6862 DSC 6863

DSC 6900 DSC 6870

Menurut beliau, para pelajar dari pelbagai bidang kejuruteraan telah menunjukkan semangat kerjasama antara satu sama lain dan komitmen yang begitu tinggi dalam melaksanakan aktiviti pameran serta demo bersama tenaga pengajar masing-masing.

“Semoga dengan adanya program ini, para pelajar dapat memperolehi ilmu dan kemahiran baharu melalui keunikan pelbagai teras kokurikulum yang ditawarkan di kampus kejuruteraan seperti kebudayaan, kelestarian, sukan, daya usaha dan inovasi serta pengucapan awam,” ujar beliau.

“Ianya tidak lain adalah untuk mengimbangi dan memupuk nilai jati diri yang merangkumi kemahiran insaniah,” tambah Salman.

Sementara itu, Pengerusi Rancangan Sukan dan Kebudayaannya, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din, berkata program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat dan kemahiran yang telah diasah selama 10 minggu tempoh pengajian masing-masing.

DSC 6900 DSC 6906

DSC 6998 DSC 7111

“Malah, pameran ini membolehkan mereka mempamerkan hasil karya mereka dalam bidang catan, kraftangan, dan fotografi, yang turut disertai dengan sajian canapé, hasil kerja pelajar kursus seni memasak.

“Program ini juga menjadi medium dalam membuka ruang bagi kursus Pengucapan Awam dan Kelestarian untuk mengetengahkan isu-isu pembangunan lestari dan kesedaran awam kepada pengunjung yang hadir,” ujarnya.

Selain daripada itu, beliau turut memuji komitmen pelajar dan jurulatih dalam menguasai kemahiran yang telah dipelajari yang mana menurut Azam, rata-rata pelajar berjaya menunjukkan penguasaan yang amat baik dalam perkara ini.

“Saya percaya ianya adalah hasil usaha serta garapan para jurulatih terlibat sepanjang 10 minggu yang lepas,” tambah Azam.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman