LAMBAIAN PERSARAAN PROFESOR DATIN DR. AZLINA DAN SAMBUTAN KEPIMPINAN BAHARU PROFESOR IR. DR. MARIATTI
NIBONG TEBAL, 31 Disember 2024 - Majlis Penyerahan Tugas Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung dengan penuh bermakna dalam satu majlis ringkas di Dewan Seminar Kampus pada hari ini.
Majlis ini menandakan berakhirnya tempoh perkhidmatan cemerlang Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin selaku Pengarah Kampus sejak mula dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Ogos 2023 yang lalu.
Dalam ucapan penuh emosi, Azlina meluahkan rasa terima kasih yang mendalam kepada seluruh warga kampus atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang satu tahun lima bulan perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Kampus.
“Terima kasih kerana sentiasa bersama-sama saya dalam mengharungi pelbagai cabaran di kampus ini," ujar Azlina.
“Kesabaran anda semua dalam memahami saya sambil menghasilkan kerja yang cemerlang menjadi tunjang kejayaan kita secara bersama,” ujar pensyarah yang mula berkhidmat di USM sejak 29 Mei 1995 ini.
Dalam menyampaikan amanat beliau pada hari terakhir sebagai Pengarah Kampus, Azlina telah menekankan pentingnya kerjasama dalam membangunkan generasi masa depan yang berilmu dan berintegriti kepada semua yang hadir khususnya para pensyarah.
Kepada pengganti beliau iaitu Profesor Ir. Dr. Mariatti Binti Jaafar @ Mustapha, yang akan memulakan tugasnya sebagai Pengarah Kampus Kejuruteraan pada 1 Januari 2025, Azlina mengucapkan selamat maju jaya.
Bercakap mengenai pelantikan mantan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral tersebut sebagai Pengarah Kampus baharu, Azlina menzahirkan keyakinan kepada Mariatti untuk terus mengemudi kampus ke arah kejayaan yang lebih gemilang.
“Perjalanan yang bakal dilalui adalah satu pengalaman yang sangat menarik dan bermakna, oleh itu, all the best saya ucapkan dan yakinlah pada kebolehan diri dalam memimpin Kampus Kejuruteraan kita selepas ini," ujar Azlina.
“Apatah lagi dengan status kampus ini yang merupakan peneraju utama USM," katanya.
“Teruslah memberikan impak kepada universiti ini yang mana, ianya hanya dapat dicapai dengan terus bergerak secara bersama sebagai satu pasukan,” kata beliau yang juga mantan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dari tahun 2010 hingga 2018 ini.
“Saya yakin, warga kampus sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan kepada tampuk kepimpinan baharu ini dan pandulah ia ke tahap yang lebih cemerlang kelak,” tambah Azlina yang pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) pada tahun 2019 hingga 2021 ini.
Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Mariatti dalam ucapannya mewakili seluruh warga kampus mengucapkan terima kasih kepada Profesor Datin Dr. Azlina atas bimbingan dan dedikasinya selama menyandang jawatan sebagai Pengarah Kampus sebelum ini.
“Kepada Profesor Datin Dr. Azlina, semoga diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sepanjang fasa persaraan, terima kasih atas segala jasa yang telah dicurahkan untuk kampus ini selama ini,” kata beliau.
“Semoga kampus ini dapat terus melangkah ke tahap yang lebih tinggi dengan sokongan dan kaliber barisan dekan baharu dalam memacu program akademik ke arah yang lebih cemerlang di masa akan datang,” ujarnya..
“Apatah lagi dengan kerjasama erat bersama Jawatankuasa Pengurusan Kampus Kejuruteraan (JPKK) yang saya yakin akan terus menjadi tunjang dalam memastikan kelangsungan usaha ke arah kecemerlangan kampus ini nanti,” tambah Mariatti.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah suami kepada Profesor Datin Dr. Azlina, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)Profesor Dato' Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang pernah menyandang jawatan Pengarah Kampus Kejuruteraan dari 1 Januari 2016 hingga 14 Mac 2017.
Teks: Muiz Syafiq Md Hassam (Pelajar Latihan Industri)
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin