Skip to main content

PESTA BUDAYA KAMPUS KEJURUTERAAN, MENGANGKAT KEPELBAGAIAN BUDAYA DALAM KALANGAN MAHASISWA

DSC 8443

NIBONG TEBAL, 8 Januari 2025 - Malam ini telah berlangsungnya Pesta Budaya Kampus Kejut 2.0 yang dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha di Pusat Mahasiswa (PUMA) Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang merupakan acara tahunan ini merupakan kerjasama di antara Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah Universiti Sains Malaysia (PERSIS USM) dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) serta Sekretariat Kebudayaan Adikarma.

Profesor Ir. Dr. Mariatti, dalam ucapan perasmian beliau, menzahirkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjur, terutamanya kepada barisan ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus dalam merealisasikan program ini.

“Usaha untuk memastikan warisan budaya kita terus dipelihara oleh generasi muda amatlah penting untuk menyemai semangat rasa cinta terhadap budaya, di samping untuk menggalakkan rasa penghargaan terhadap kepelbagaian budaya kita,” ujar beliau.

DSC 8371 DSC 8380

DSC 8387 DSC 8425

DSC 8453 DSC 8459

“Apatah lagi dengan ruang yang disediakan di Pesta Budaya Kejut 2.0 ini untuk para mahasiswa dan mahasiswi menonjolkan kreativiti dan bakat masing-masing sepanjang ianya berlangsung,” tambah Profesor Mariatti lagi.

Sementara itu, Pengarah Program Pesta Budaya Kejut 2.0, Sean Collins Nicholas Majimbun berkata tujuan program ini diadakan adalah untuk meraikan kepelbagaian budaya yang wujud di kalangan rakyat di negara ini.

“Di sinilah kita dapat mengenali dan menghargai tradisi, seni, dan warisan kita yang merupakan lambang serta simbol keunikan kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia,” ujar Sean.

“Saya percaya program ini dapat memperkukuhkan hubungan antara kita semua, melampaui batas budaya dan kepercayaan kerana kepelbagaian adalah kekuatan, yang mana ianya harus diraikan dengan penuh rasa hormat dan penghargaan,” kata beliau.

DSC 8469 DSC 8453

DSC 8539 DSC 8498

DSC 8508 DSC 8584

“Jadi program ini sebagai sebuah peluang untuk kita belajar, berkongsi, dan membina jaringan yang lebih erat antara satu sama lain kerana kepelbagaian budaya bukan sahaja memperkayakan pengalaman kita tetapi juga membentuk kita menjadi individu yang lebih terbuka dan berwawasan,” tambah Sean.

Program yang bertemakan Colours of Malaysia: Celebrating Traditions Across Cultures ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian, cabutan bertuah dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti menarik dalam usaha memperkukuh hubungan antara pelajar dan warga kampus.

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saad, Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya & Antarabangsa Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Ir. Dr. Hussin Mamat serta Pegawai Kebudayaan Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli.

Teks: Muiz Syafiq Md Hassam (Pelajar Latihan Industri) Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman