MPP MEDIUM PENTING KOMUNIKASI ANTARA MAHASISWA DAN PENTADBIR – PENGARAH KAMPUS
Nibong Tebal, 14 Januari 2025 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, hari ini hadir dalam satu sesi perjumpaan pertama beliau dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2024/2025 Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia.
Dalam ucapan beliau, Mariatti menekankan peranan penting MPP sebagai medium komunikasi utama antara mahasiswa dan pentadbir, sambil melahirkan rasa gembira beliau atas usaha mereka dalam menjaga kebajikan mahasiswa serta menyediakan saluran aduan yang efektif.
Menurut beliau, MPP perlu sentiasa memberikan jawapan berdasarkan fakta kepada setiap permasalahan yang diajukan oleh pelajar dan turut menekankan kepentingan untuk mereka merujuk kepada Pusat Tanggungjawab yang berkaitan sebelum memberi maklum balas.
“Saya juga berharap agar MPP dapat membantu untuk meningkatkan keterlihatan Kampus serta bidang-bidang kejuruteraan yang ditawarkan di sini,” kata beliau yang menyambut baik cadangan MPP untuk mengadakan pertandingan berkaitan kejuruteraan pada masa akan datang.
“Apatah lagi, permohonan ke kursus-kursus kejuruteraan di USM dan bilangan pelajar yang mengambil jurusan berkaitan STEM di sekolah pada ketika ini sedang menunjukkan penurunan,” ujar beliau.
“Program seperti ini diharap dapat menarik minat pelajar sekolah untuk mengenali kampus kita dengan lebih dekat dan pada masa yang sama, promosi yang berkaitan boleh dilaksanakan untuk mewujudkan minat mereka dalam bidang-bidang kejuruteraan yang ada,” kata Mariatti.
Selain daripada itu, beliau turut mengingatkan semua MPP yang hadir untuk mengutamakan pelajaran dan menguruskan masa masing-masing dengan sebaiknya, walaupun sibuk dengan pelbagai tanggungjawab.
“Jangan jadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak hadir ke kelas,” pesan beliau.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis (YDP) Perwakilan Pelajar Kampus Kejuruteraan, saudara Muhammad Wafiq Mazlan, menyifatkan pertemuan ini sebagai satu kesempatan istimewa untuk memperkukuhkan hubungan antara MPP dan pihak pengurusan universiti.
Beliau turut menyampaikan setinggi-tinggi tahniah kepada Profesor Ir. Dr. Mariatti atas pelantikan sebagai Pengarah Kampus yang baharu serta berharap agar kepimpinan ini membawa kemajuan dan inspirasi kepada semua warga kampus.
Dalam pertemuan kali ini, Wafiq berpeluang untuk memperkenalkan barisan kepimpinan MPP sidang 2024/2025 dan turut membentangkan empat hala tuju utama organisasi, iaitu kebajikan mahasiswa, pemerkasaan akademik, kepimpinan dan perpaduan, serta fasiliti dan perkhidmatan pelajar.
“Dengan visi menjadi platform yang menjaga kepentingan mahasiswa dan membentuk keperibadian yang menyeluruh, MPP komited untuk memperkukuhkan pembangunan dari aspek akademik dan kepimpinan serta menyatukan warga kampus demi manfaat bersama,” kata beliau.
“Kami berharap hubungan yang terjalin ini akan terus kukuh dan menjadi asas kepada kerjasama yang lebih erat dalam usaha menjayakan aspirasi universiti,” tambah Wafiq.
Turut hadir adalah Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Pengarah, Encik Mohd Kamil Ashar, dan Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Encik Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar.