KIT RAMADAN UNTUK WARGA KAMPUS, INISIATIF JABATAN PENDAFTAR USM
NIBONG TEBAL, 21 Februari 2025 – Sempena bulan Ramadan yang mulia, Jabatan Pendaftar Kampus Kejuruteraan telah menganjurkan Program Edaran Kit Ramadan secara pandu lalu di Pintu Masuk Utama Kampus.
Penyerahan 100 kit tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Dr. Mariatti Binti Jaafar @ Mustapha kepada staf serta kakitangan kontrak di kampus ini.
“Saya sangat berbesar hati dan menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftar ini,” ujarnya.
“Program ini mencerminkan keprihatinan Jabatan Pendaftar untuk berkongsi rezeki dengan warga Kampus Kejuruteraan sambil mengambil keberkatan Bulan Ramadan yang akan tiba nanti,” ujar beliau.
“Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, sekaligus menjadi contoh kepada Pusat-pusat Tanggungjawab (PTJ) lain,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kampus Kejuruteraan, Mior Zulbahri Bin M. Chek menyatakan bahawa program ini merupakan satu tradisi dan aktiviti tahunan jabatan tersebut menjelang bulan Ramadan.
Menurut beliau, ianya bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan warga kampus dan pekerja kontrak yang berkhidmat di Kampus Kejuruteraan.
“Kaedah yang sama, cuma sumbangan sahaja yang berbeza pada setiap tahun,” kata Mior.
“Pada tahun 2023 kita telah mengedarkan kurma dan pada tahun 2024, bubur lambuk telah diedarkan,” tambah beliau.
Program ini bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan warga kampus dan pekerja kontrak yang berkhidmat di Kampus Kejuruteraan.