Skip to main content

PELUNCURAN PROGRAM ANAK KITA: SPM 2025 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG PERKASA PENDIDIKAN 1,280 PELAJAR

DSC 1658

NIBONG TEBAL, 22 Februari 2025 – Kerjasama antara Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Unit Pantau Madani, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, dan Pejabat Pendidikan Daerah hari ini telah berjaya meluncurkan Program Anak Kita: SPM 2025 peringkat Negeri Pulau Pinang.

Hadir merasmikan majlis, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainal Abas menekankan kepentingan program dalam memastikan kecemerlangan akademik pelajar sambil menggesa agar ianya diselarikan dengan kemahiran insaniah masing-masing.

Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa program yang dirancang ini menggunakan kaedah pembelajaran yang membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran dengan lebih cepat dan kerap.

DSC 1758 DSC 1006 

DSC 0884 DSC 1758 

DSC 1086 DSC 1658

“Kepada semua pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, ambilkan peluang yang diwujudkan ini untuk meningkatkan keupayaan diri, apatah lagi peperiksaan ini adalah bekalan kepada perjalanan anda di masa hadapan,” ujarnya.

“Jangan lepaskan peluang untuk menggunakan peluang dan program ini untuk memperkukuhkan nilai diri kamu semua,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pendidikan Yayasan Hasanah, Dr. Nur Anuar Abdul Muthalib pula menegaskan masih terdapat ramai pelajar yang memerlukan sokongan tambahan dalam menguasai literasi, numerasi serta persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

“Selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani bagi menyokong kesaksamaan dalam akses dan peluang pendidikan, kerajaan telah memperkenalkan satu program intervensi sokongan pemulihan pembelajaran yang lebih berfokus,” katanya.

“Program Anak Kita menerapkan pendekatan menyeluruh atau whole-nation-approach yang melibatkan pihak kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta universiti,” ujar Anuar.

DSC 0911 DSC 0913

“Usaha ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 83,752 murid sekolah rendah dan menengah dari 3,458 sekolah di seluruh negara demi mencapai mattlamat utamanya dalam memastikan murid-murid bukan sahaja lulus tetapi mencapai keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan SPM, di samping mengembalikan mereka yang telah tercicir ke landasan pendidikan,” tambah beliau.

Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Haji Wan Sajiri Haji Wan Hassan dalam ucapan beliau pula menyatakan bahawa seramai 1,280 pelajar SPM 2025 dari 64 buah sekolah di Pulau Pinang, termasuk sekolah pendidikan khas, telah dikenalpasti untuk menyertai program ini.

DSC 0939 DSC 1113 

DSC 0875 DSC 0976

Menurut beliau, program ini diuruskan oleh Yayasan Hasanah dengan kerjasama Unit Pantau Madani di mana setiap calon SPM yang terpilih akan menerima sebuah tablet serta pelan data Internet CelcomDigi selama 13 bulan untuk menyokong pembelajaran dalam kelas bimbingan berfokus yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

“Di Pulau Pinang, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam era digital ini dan melalui pemberian peranti digital ini, kita bukan sahaja menyalurkan bantuan teknologi, tetapi juga menyokong aspirasi besar dalam pendidikan negara,” ujarnya.

“Hal ini bertepatan dengan slogan JPNPP: ‘Peneraju Transformasi Pendidikan Digital’, yang menjadi landasan kepada usaha kita dalam membawa sistem pendidikan ke tahap yang lebih dinamik dan inklusif,” kata Sajiri.

Teks: Siti faizah Abdul Halim / Foto: Farid Hamidi Wahab