LAWATAN SMKASAF KE KAMPUS KEJURUTERAAN, PUPUK MINAT PELAJAR DALAM BIDANG KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 25 Februari 2025 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menerima kunjungan seramai 30 pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syeikh Abdullah Fahim (SMKASAF), Nibong Tebal, yang diiringi oleh empat orang guru pengiring.
Program dimulakan dengan ucapan aluan serta taklimat mengenai Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, yang disampaikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Dr. Sareh Aiman Hilmi Abu Seman.
Pelajar turut diberikan taklimat mengenai Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, yang disampaikan oleh pensyarah pusat pengajian tersebut, Dr. Mohamad Haniff Junos, sebelum dibawa melawat makmal-makmal penyelidikan serta kemudahan perpustakaan kampus.
Bertindak selaku penyelaras program, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad, yang hadir menyampaikan motivasi kepada para pelajar, menyatakan harapan beliau agar lawatan ini memberi gambaran awal kepada mereka mengenai dunia universiti, khususnya di USM.
"Saya juga berharap agar lawatan ini dapat memupuk minat dan seterusnya menjadi inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan pada masa hadapan," ujar beliau, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.
Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin