BIOECODS DI KAMPUS KEJURUTERAAN USM DIIKTIRAF SEBAGAI TAPAK DEMONSTRASI EKOHIDROLOGI UNESCO
NIBONG TEBAL, 27 Mac 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan bangganya mengumumkan bahawa Sistem Saliran Bio-Ekologikal (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan telah diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO berkuat kuasa 1 Oktober 2024.
Pengiktirafan berprestij ini menempatkan BIOECODS dalam Rangkaian Global Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO-IHP, sekali gus mengukuhkan komitmen USM terhadap pengurusan sumber air lestari.
Pemilihan ini dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Saintifik (EH-SAC) Program Ekohidrologi UNESCO pada 1 Oktober 2024 di Universiti Algarve, Faro, Portugal, yang menghimpunkan saintis terkemuka dari seluruh dunia.
Cadangan projek bertajuk "Pioneering Integrated and Innovative Sustainable Stormwater Design for Urban Water Resource Management in Malaysia" diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol.
Menurut beliau, projek ini menerapkan teknik ekohidrologi yang komprehensif serta pendekatan inovatif dalam pengurusan sumber air bandar, menjadikannya sebagai inisiatif contoh dalam mempamerkan prinsip ekohidrologi kepada masyarakat umum.
"Dengan pengiktirafan ini, Kampus Kejuruteraan USM akan memainkan peranan aktif dalam inisiatif Program Ekohidrologi UNESCO-IHP di bawah kerangka IHP IX," katanya.
Menurut Remy, sistem BIOECODS, yang diasaskan oleh Profesor Dato' Dr. Azazi Zakaria, mengintegrasikan proses hidrologi mesra alam dengan aplikasi praktikal dalam pengurusan air hujan yang lestari.
“Matlamat sistem ini adalah untuk menetapkan penanda aras global bagi amalan alam sekitar sambil memberi manfaat kepada komuniti setempat,” tambahnya.
BIOECODS turut memberi impak besar kepada Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) yang merupakan salah satu faktor utama pengiktirafan REDAC sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) dalam Pengurusan Air Hujan Bandar Lestari pada tahun 2014.
Remy turut menzahirkan penghargaan kepada UNESCO dan EH-SAC atas pengiktirafan ini, yang menyerlahkan kepimpinan USM dalam penyelidikan alam sekitar dan inovasi, sekaligus memperkukuh peranannya dalam menangani cabaran pengurusan air di peringkat global.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dato' Ir. Ratna Rajah Sivapiragasam, Pengarah Pusat Tropika Lembap Kuala Lumpur, dan pasukannya atas bimbingan serta sokongan mereka dalam membantu USM mencapai pengiktirafan ini.
“Tidak dilupakan, penghargaan turut diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia atas kerjasama berterusan dan komitmen mereka dalam memajukan inisiatif pengurusan air lestari”.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Syafiq Shaharuddin & Muhammad Taufik Abdul Rahman