TAKLIMAT DAN SERAHAN PELAJAR KOKURIKULUM BERKREDIT USM FOKUS PEMBENTUKAN GRADUAN HOLISTIK
NIBONG TEBAL, 7 April 2025 – Seramai lebih 604 pelajar daripada pelbagai kursus hadir dalam Taklimat dan Serahan Pelajar bagi Kursus Kokurikulum Berkredit Semester II, Sidang Akademik 2024/2025 yang berlangsung hari ini.
Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor, menyatakan bahawa sesi kali ini melibatkan lebih 20 kursus kokurikulum berkredit yang ditawarkan di bawah Kursus Universiti dan Mata Pelajaran Pengajian Umum Kelompok U4 (MPU4) untuk pelajar-pelajar ijazah sarjana muda kejuruteraan.
“Kursus ini adalah sebahagian daripada komponen penting untuk tujuan pengijazahan dan ditawarkan kepada semua pelajar dari 11 program ijazah sarjana muda kejuruteraan di enam pusat pengajian kejuruteraan di USM,” ujar beliau.
“Ia bukan sahaja bertujuan memantapkan pembangunan kemahiran insaniah pelajar, malah turut memberi penekanan kepada nilai-nilai hidup, disiplin dan moral dalam melahirkan graduan yang holistik dan cemerlang,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit berasaskan pendekatan Outcome Based Education (OBE) itu juga mengambil kira isu-isu semasa berkaitan pembangunan negara dan universiti, selari dengan lima teras utama yang diterapkan iaitu sukan, kebudayaan, daya usaha dan inovasi, pengucapan awam serta kelestarian.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din yang bertindak dalam menyampaikan taklimat pada program ini menyeru pelajar agar memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang mengikuti kelas-kelas kokurikulum berkredit yang telah dirancang dengan teliti oleh para tenaga pengajar bertauliah.
“Gunakan peluang ini untuk meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing termasuk dalam bidang komunikasi, kerja berpasukan sambil mengamalkan nilai moral dan disiplin yang tinggi dalam diri anda semua,” kata beliau.
Menurut Azam, ini adalah platform terbaik untuk membentuk karakter dan daya kepimpinan yang seimbang dalam kalangan bakal jurutera di Kampus Kejuruteraan USM.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin