Skip to main content

EKSPO KEUSAHAWANAN DAN MALAM KEBUDAYAAN 2025 SERLAH POTENSI PELAJAR USM KAMPUS KEJURUTERAAN

KO K

NIBONG TEBAL, 21 Mei 2025 – Seramai 723 orang pelajar dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) terlibat dalam penganjuran Ekspo Keusahawanan, Malam Kebudayaan, Pameran Statik dan Demo Kokurikulum bagi Semester II Sidang Akademik 2024/2025, hari ini.

Berlangsung meriah di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan, acara berimpak tinggi yang merupakan program andalan Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan USM ini menyaksikan penyertaan sebanyak 121 kumpulan pelajar, melibatkan lebih 150 gerai jualan.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor beliau menyifatkan penganjuran program ini sebagai bukti keupayaan pelajar dalam menganjurkan acara berskala besar secara profesional dan tersusun.

DSC 6987 DSC 6998

DSC 7029 DSC 7057

“Program ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar menonjolkan bakat dan kreativiti masing-masing dalam bidang keusahawanan, kebudayaan, serta aktiviti luar bilik kuliah sebagai sebahagian daripada pembelajaran holistik di universiti,” ujar beliau.

“Saya amat berbangga dengan komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh para pelajar dalam menjayakan program ini, dari pengurusan acara, penyediaan gerai, sehinggalah kepada persembahan pada malamnya, semuanya dikendalikan secara profesional dan penuh semangat,” katanya.

Tambah beliau, inilah antara matlamat Pusat Rancangan Kokurikulum iaitu membina keyakinan, kepimpinan dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pelajar.

DSC 7068 DSC 7136 

DSC 7111 DSC 7136

“Ekspo ini juga memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan kemahiran seperti komunikasi, perundingan dan pengurusan dalam suasana sebenar, sekali gus memperkukuh kemahiran insaniah mereka,” tambah Salman.

Sementara itu, Pengerusi Rancangan Sukan dan Kebudayaan, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din pula menzahirkan penghargaan terhadap nilai seni dan bakat pelajar yang berjaya dipersembahkan dalam Malam Kebudayaan tahun ini.

“Penganjuran Malam Kebudayaan tahun ini berjaya menonjolkan kepelbagaian kursus kokurikulum yang ditawarkan Pusat Rancangan Kokurikulum di USM seperti Gitar, Koir, Teater Moden, Senamrobik, Palapes Darat, Palapes Laut dan Palapes Udara,” kata beliau.

DSC 7596 DSC 7566

DSC 7745 DSC 7751

“Persembahan yang dipersembahkan bukan sahaja mencerminkan kreativiti pelajar, tetapi juga kefahaman mereka terhadap apa yang dipelajari selama beberapa minggu pengajian pada semester kali ini,” ujar Azam.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pelajar yang telah mengambil inisiatif dalam penganjuran program pada kali ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” tambah beliau.

Menurut Azam lagi, ini adalah satu usaha murni ke arah pembinaan sahsiah seimbang, khususnya dari dari segi intelek, emosi dan spiritual.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman