KAMPUS KEJURUTERAAN USM TERIMA LAWATAN AKADEMIK GURU FIZIK KINTA UTARA
NIBONG TEBAL, 22 Mei 2025 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menerima kunjungan seramai 47 Ketua Panitia Fizik bersama pegawai-pegawai dari Sektor Pembelajaran serta Jurulatih Utama Fizik Daerah Kinta Utara, Ipoh Perak.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha menekankan keperluan kerjasama berterusan antara guru dan universiti dalam mempromosikan bidang kejuruteraan kepada pelajar sekolah.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penurunan minat pelajar terhadap sains, yang sekali gus memberi kesan terhadap jumlah kemasukan ke program kejuruteraan di USM.
“Kita memerlukan sekitar 60,000 jurutera bagi memenuhi Pelan Strategik Semikonduktor Nasional (NSS). Namun, jumlah pelajar yang berminat dalam bidang ini semakin hari semakin berkurangan,” ujar beliau.
“Oleh yang demikian, besar harapan kami agar semua guru yang terlibat dalam lawatan hari ini dapat menjadi suara dalam menyalurkan maklumat tentang program-program kejuruteraan di USM yang telah terbukti kukuh dan berdaya saing sejak tahun 1986,” tambah beliau.
Sementara itu, Pegawai Pembimbing SISC+ Sains dan Matematik, Cikgu Mohd Nazri Abdul Hamid menyifatkan lawatan ini sebagai peluang kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara untuk menjalin hubungan strategik dengan institusi pengajian tinggi.
“Kami percaya, kecemerlangan murid bermula daripada guru,” katanya.
“Lawatan ini adalah sebahagian daripada intervensi kami di PPD bagi membantu guru-guru memperoleh inspirasi baharu dan seterusnya menyuntik semangat kepada pelajar,” tambah beliau.Beliau turut berharap agar para peserta lawatan dapat membawa pulang pendekatan serta pedagogi baharu yang mampu memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM serta institusi pengajian tinggi seperti USM.
Dalam sesi lawatan tersebut, delegasi turut dibawa melawat kemudahan pengajaran dan pembelajaran di beberapa pusat pengajian di kampus, sekali gus memberi pendedahan langsung terhadap ekosistem pembelajaran di peringkat universiti.
Lawatan yang diketuai oleh Cikgu Mohd Nazri ini dilaksanakan dengan kerjasama Panitia Fizik Daerah dan diselaraskan oleh En. Syahir Bahitan Hilmi, Jurulatih Utama Fizik merangkap Guru Inovasi.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman