ATLAS TRIO USM ANGKAT INOVASI MALAYSIA KE PERSADA DUNIA DI PERTUNJUKAN UDARA PARIS
NIBONG TEBAL, 25 Mei 2025 – Sekumpulan pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Aeroangkasa dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencipta sejarah apabila berjaya mewakili Malaysia di Paris Air Show 2025 selepas dipilih sebagai salah satu daripada 3 finalis terbaik dunia dalam pertandingan berprestij Airbus Fly Your Ideas.
Kumpulan ini, yang dikenali sebagai ATLAS Trio USM, terdiri daripada Milia Ainna Nadzira Jain (Ketua Pasukan), Mohamed Syahmi Mohamed Sani (Penyelidik Teknikal), dan Nelda Nathaneva Bokuli (Penganalisis), di bawah bimbingan penasihat mereka, Dr. Siti Harwani Md Yusoff.
Idea inovatif mereka yang bertajuk “Cloud Colonies” mengetengahkan pembangunan platform terapung lestari di atmosfera atas planet Zuhrah (Venus) untuk tujuan penyelidikan, penuaian tenaga suria, dan pengekstrakan sumber.
“Pemilihan ini bagaikan mimpi menjadi kenyataan! Kami berharap idea ini dapat menyumbang kepada masa depan penerokaan angkasa dan kelestarian,” kata Milia Ainna, ketua pasukan.
Cadangan ini memberi fokus kepada pembinaan ekonomi terapung pada altitud 50 kilometer di atas permukaan Zuhrah, kawasan yang mempunyai keadaan lebih sederhana berbanding permukaan planet tersebut yang ekstrem.
“Idea ini sejajar dengan komitmen Airbus terhadap kelestarian, kemajuan teknologi, dan penerokaan angkasa yang berwawasan,” ujar Dr. Harwani.
Menurut beliau, perjalanan pasukan ini bermula pada Mac 2025 apabila mereka mendaftar untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Penyertaan mereka merupakan pencapaian penting bagi pelajar Malaysia dalam bidang inovasi aeroangkasa dan menetapkan penanda aras baharu dalam sumbangan peringkat universiti terhadap wacana aeroangkasa global,” tambahnya.
“Selepas menjalani beberapa minggu penyelidikan dan pembangunan, pasukan ini telah menghantar cadangan serta video pengenalan menjelang pertengahan April, dan projek mereka dipilih sebagai antara 6 terbaik di dunia pada akhir bulan tersebut,” jelas beliau lagi.
Setelah menambah baik konsep mereka berdasarkan maklum balas daripada jurutera Airbus serta sokongan berterusan daripada Dr. Harwani, pasukan ini telah membuat pembentangan akhir kepada panel antarabangsa pada 15 Mei lalu, yang membawa kepada pemilihan mereka sebagai salah satu daripada 3 finalis terbaik untuk ke Paris Air Show.
“Pengalaman ini telah meluaskan pandangan kami dalam bidang inovasi aeroangkasa serta mempertingkatkan kemahiran menyelesaikan masalah,” kata Syahmi.
Bagi Syahmi, Paris Air Show yang berlangsung setiap dua tahun adalah antara pameran aeroangkasa paling berprestij di dunia, yang menghimpunkan peneraju industri, jurutera, pelabur dan inovator.
“ATLAS Trio USM bukan sahaja akan bersaing untuk merebut anugerah utama, malah berpeluang untuk berinteraksi dengan profesional serta terdedah kepada teknologi terkini dalam bidang aeroangkasa,” tambahnya.
Sementara itu, Nelda berkata mereka amat berbangga dapat membawa nama USM dan Malaysia ke pentas antarabangsa yang berprestij ini.
“Ini bukan sahaja kejayaan kami, tetapi kejayaan untuk negara,” katanya.
Penilaian akhir dan majlis penyampaian anugerah akan diadakan semasa Paris Air Show pada Jun 2025.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Ihsan ATLAS Trio USM