Skip to main content

SESI LAPOR DIRI LAPAN TENAGA PENGAJAR, PERSEDIAAN AWAL MENJELANG PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN KTE USM

DSC 8900

NIBONG TEBAL, 27 Mei 2025 – Satu sesi taklimat dan lapor diri rasmi tenaga pengajar Program Pendidikan Tingkatan Enam (KTE) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini di Kampus Kejuruteraan sebagai langkah persediaan awal menjelang pelaksanaannya, yang dijadualkan bermula pada 10 Jun 2025.

Program ini menghimpunkan lapan orang guru KTE USM bersama pentadbir dari Kolej Tingkatan Enam Desa Murni yang diketuai oleh Pengetua Cemerlang, Tuan Haji Adnan, wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Ts. Azleani Azley, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Lepas Menengah, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, serta pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan.

DSC 8852 DSC 8862

DSC 8880 DSC 8880

Antara pengisian utama sesi selama satu hari ini ialah Taklimat Akses, Kemudahan Kampus, Etika & Penampilan dalam Persekitaran Kampus yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pendaftar, Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan, Encik Mohd Kamil Ashar.

Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para tenaga pengajar berkenaan struktur dan budaya kerja di kampus serta kemudahan yang tersedia bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran KTE USM.

Majlis turut diserikan dengan sesi Suai Kenal bersama 30 orang wakil Ketua serta wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pusat Pengajian, diikuti dengan sesi Bual Bicara yang memberikan ruang interaksi dua hala antara delegasi KTE USM dan barisan pengurusan akademik serta pentadbiran Kampus Kejuruteraan USM.

DSC 8910 DSC 8932

DSC 8942 DSC 8964

Selain daripada itu, delegasi KTE USM turut dibawa melawat ke lokasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang meliputi beberapa makmal utama di bawah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral (PPKBSM), dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM). Mereka turut dibawa melawat ke Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan serta Dewan Kuliah Kampus Kejuruteraan.

Turut hadir dalam menyambut delegasi KTE USM pada hari ini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Dekan PPKBSM, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff dan Dekan PPKM, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saad.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman