Skip to main content

DOMINASI JUARA BERTAHAN, DESASISWA JAYA LEMBARAN UTAMA KEKALKAN TAKHTA DALAM SUKAD

WhatsApp Image 2025 05 28 at 15.18.47

PULAU PINANG, 23 Mei 2025 – Desasiswa Jaya Lembaran Utama (JLU) terus mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa besar sukan kampus apabila berjaya mengekalkan gelaran Johan Keseluruhan bagi Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) Sidang Akademik 2024/2025 Universiti Sains Malaysia (USM).

Dianjurkan oleh Majlis Yang Dipertua (MYDP) dengan kerjasama Majlis Penggawa dan Pusat Sukan dan Rekreasi USM, SUKAD merupakan acara tahunan yang menghimpunkan persaingan antara desasiswa dari ketiga-tiga kampus USM iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan serta Kampus Kesihatan.

Laungan semangat Desasiswa JLU bergema di Stadium Olahraga USM apabila pasukan mereka diumumkan sebagai Johan Keseluruhan, setelah mengumpul 6 pingat emas, 8 perak dan 8 gangsa daripada ketiga-tiga fasa 1,2, serta 3 SUKAD.

Piala Pusingan Naib Canselor telah disampaikan oleh Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sambil oleh diiringi Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, dan wakil Majlis Penggawa, Ts. Dr. Shahrizal Nazri.

Menurut Penggawa Desasiswa JLU, Hasliza Mat Saad, kemenangan ini membuktikan kekuatan fizikal dan mental serta semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga JLU.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua atlet yang telah berjuang mengharumkan nama JLU,” ujarnya.

“Kejayaan ini adalah milik kita semua dan menjadi pencetus kepada budaya kecergasan serta kebersamaan yang lebih kukuh dalam komuniti JLU,” kata beliau dengan penuh bangga.

“Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada barisan Majlis Penghuni Desasiswa (MPDJLU), pegawai desasiswa, pengurus pasukan dan jurulatih atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan penyertaan SUKAD,” ujar Hasliza.

“Tidak dilupakan juga sokongan teknikal dan fasiliti daripada barisan staf Pusat Sukan dan Rekreasi Kampus Kejuruteraan serta pihak pengurusan Pusat Pengajian yang telah memberikan pelepasan kepada para atlet,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua 2 MPDJLU dan pemantau penyertaan SUKAD bagi JLU, Nur Amira Aisyah Wira Safuan, menyifatkan kejayaan ini adalah hasil sokongan padu dari pelbagai pihak.

“Semangat dan ketekunan Jawatankuasa Eksekutif Kecergasan MPDJLU wajar dipuji di mana, walaupun berdepan pelbagai cabaran, mereka kekal komited dan tidak pernah berputus asa,” jelasnya.

“Semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh penghuni Desasiswa JLU untuk terus bergiat aktif dalam bidang sukan sambil menyemarakkan lagi budaya kecergasan, semangat kesukanan serta perpaduan dalam kalangan mahasiswa USM,” tambah Amira.

Teks: Ihsan Azriq Rashid Hussin (Yang Dipertua MPDJLU) / Foto: Ihsan Jawatankuasa Eksekutif Digital MPDJLU
Suntingan: Hasliza Mat Saad (Penggawa JLU) & Nur Edryana Ezzaty Muhammad Kamal (Setiausaha Agung MPDJLU)