Skip to main content

LEBIH 300 PENDUDUK ORANG ASLI POS YUM TERIMA MANFAAT PROGRAM KPT PRIHATIN MADANI UNIT KESIHATAN USM

WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.49 2

SUNGAI SIPUT, 30 Mei 2025 – Lebih 300 penduduk Orang Asli di Perkampungan Pos Yum di sini menerima pelbagai manfaat kesihatan, pendidikan dan kebajikan menerusi pelaksanaan Program KPT Prihatin Madani yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Mei lalu.

Program anjuran Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) itu mendapat kerjasama strategik daripada Pusat Sejahtera (Unit Pergigian), Pusat Pergigian Kanak-Kanak, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM – Pergigian) dan Klinik Pergigian Kuala Kangsar, serta penglibatan aktif para mahasiswa USM.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan dan rawatan pergigian secara percuma, demonstrasi bantuan awal kecemasan (CPR), aktiviti kesedaran kesihatan reproduktif dan pergigian, serta program pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja yang merangkumi kemahiran membaca, permainan interaktif dan sukaneka.

Warga emas turut disantuni melalui lawatan kesihatan dari rumah ke rumah, manakala sumbangan pakaian terpakai yang disediakan menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.

WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.37 WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.37 WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.37 1

Hari kedua program turut dimeriahkan dengan acara sukaneka yang berlangsung dalam suasana harmoni, di samping aktiviti gotong-royong kutipan sampah bagi memupuk kesedaran sivik dan amalan menjaga kebersihan alam sekitar dalam kalangan remaja.

Program berkenaan turut disokong oleh Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kejuruteraan USM yang menguruskan logistik pengumpulan dan pengagihan sumbangan barangan asas daripada lima Pusat Tanggungjawab (PTJ) Kampus Kejuruteraan, iaitu Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (HAC), Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Sebanyak 62 kampit beras, 62 botol minyak masak dan pelbagai makanan kering berjaya dikumpulkan dan diagihkan kepada penduduk kampung, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 2: Kelaparan Sifar dan SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, sempena Minggu Kelestarian Kampus Kejuruteraan USM.

Menurut Pengarah Program merangkap Pegawai Pergigian Unit Kesihatan, Dr. Azma Hayati, program itu turut mendapat sokongan dana daripada Hospital Pakar USM bagi menjayakan pelaksanaan Mobile Screening Clinic, Klinik Bergerak KPT Prihatin Madani.

WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.44 1 WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.47 2

WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.48 2 WhatsApp Image 2025 06 05 at 10.01.45 1

“Pihak penganjur amat menghargai kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua agensi dan sukarelawan, serta sambutan luar biasa daripada penduduk kampung sepanjang dua hari program berlangsung,” ujar Dr. Azma.

Sementara itu, Tok Batin, Pandak Liong dalam ucapan penghargaan beliau berkata komuniti setempat tidak mengharapkan sumbangan berbentuk wang, sebaliknya lebih menghargai perkongsian ilmu daripada pihak luar.

“Kerana dengan ilmulah kami boleh mengubah kehidupan kami,” katanya.

Program KPT Prihatin Madani di Pos Yum bukan sahaja memberi impak ketara kepada kesejahteraan masyarakat Orang Asli, malah memperkukuh komitmen USM dan rakan strategik dalam menjunjung nilai keprihatinan dan kelestarian, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani dan matlamat SDG 1, 2, 3, 4, 10, 12 dan 17.

Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Ihsan Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan USM