Skip to main content

KERJASAMA KPT-KPM PERKASA LALUAN PENDIDIKAN LEPASAN SPM MELALUI PROGRAM KTE PREMIER DI USM

DSC 9534

NIBONG TEBAL, 10 Jun – Program Pendidikan Tingkatan Enam (KTE) Kampus Universiti yang julung kali dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 5,000 permohonan diterima.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program Tingkatan Enam Premier yang dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi bukti komitmen kedua-dua kementerian dalam memperkasakan laluan pendidikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“USM sahaja terima lebih 1,000 permohonan manakala yang setuju menerima tawaran adalah seramai 49 pelajar, dengan lebih 30 telah mendaftar hari ini,” ujar beliau.

“Kita masih menunggu untuk mencukupkan kuota 60 orang bagi dua bidang pengkhususan, iaitu Sains (Fizik - Kimia) dan Sains Sosial,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan pelajar KTE di Kampus Kejuruteraan USM.

DSC 9353 DSC 9399

DSC 9437 DSC 9554

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Sains Malaysia, khususnya kepada Naib Canselornya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, atas usaha merealisasikan program ini dengan penuh komitmen.

“Pemilihan USM sebagai lokasi pelaksanaan adalah tepat memandangkan universiti mempunyai prasarana yang lengkap, suasana pembelajaran yang kondusif serta sokongan menyeluruh kepada pelajar,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyifatkan pemilihan USM sebagai pelaksana program sebagai satu kepercayaan besar daripada kedua-dua kementerian dan kerajaan kepada universiti.

DSC 9225 DSC 9234

DSC 9274 DSC 9273

“Saya ucapkan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan serta KPT, khususnya YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas kepercayaan ini di mana ini merupakan satu jalinan silang kementerian yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.

Beliau, dalam ucapannya, turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman serta Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar dan warga USM yang komited akan program rintis ini.

“Sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan juga amat dihargai,” katanya.

Naib Canselor turut menyampaikan ucapan tahniah kepada para pelajar yang terpilih mengikuti program ini dan menyifatkan ia sebagai permulaan kepada satu perjalanan penuh potensi dan peluang untuk membina kejayaan diri.

DSC 9684DSC 9642

DSC 9746 DSC 9782

Beliau menyeru para pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk terus belajar, berkembang dan membina jati diri yang dinamik, selaras dengan matlamat program ini yang diharapkan dapat memberi manfaat besar bukan sahaja kepada pelajar, malah turut menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Selain USM, program Tingkatan Enam Premier turut dilaksanakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) KPM, Dato' Amzan Abd Malek, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPDJPN Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad.       

Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman