Skip to main content

SAS 3.0 SEMARAK GAYA HIDUP SIHAT DAN SEMANGAT KESATUAN KAMPUS

DSC 0624

NIBONG TEBAL, 11 Jun – Sports Among Schools (SAS) 3.0, program berteraskan kesukanan dan kerjasama komuniti, terus mengorak langkah memperkukuh budaya sihat serta perpaduan dalam kalangan pelajar dan staf Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang berlangsung di Stadium Mini Kampus Kejuruteraan USM ini dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, yang menyifatkan SAS 3.0 sebagai satu inisiatif signifikan dalam membudayakan gaya hidup aktif serta memupuk semangat kesukanan dalam komuniti kampus.

“Saya amat berbesar hati diberi amanah menyempurnakan perasmian program ini. Lebih membanggakan, edisi kali ini menyaksikan penyertaan yang lebih inklusif, melibatkan bukan sahaja para pelajar, bahkan juga staf universiti,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.

DSC 0161 DSC 0169

DSC 0187 DSC 0192

DSC 0216 DSC 0231

Menurut beliau, penganjuran SAS 3.0 selari dengan aspirasi USM untuk membentuk warga kampus berjiwa HEBAT iaitu Holistik, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking melalui aktiviti kesukanan yang membuka ruang kepada pelajar membina ketahanan fizikal, kepimpinan, semangat berpasukan serta integriti diri.

“Program ini turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 melalui galakan gaya hidup sihat dan aktif, SDG 4 melalui pembangunan sahsiah pelajar di luar bilik darjah, dan SDG 17 menerusi kolaborasi antara pelajar, staf dan komuniti kampus,” jelasnya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa inisiatif sebegini adalah selari dengan intipati pendidikan tinggi masa kini yang menuntut pembangunan insan secara menyeluruh merangkumi jasmani, emosi, intelek dan rohani.

DSC 0256 DSC 0293

DSC 0309 DSC 0345

DSC 0350 DSC 0361

DSC 0361 DSC 0372

Mengakhiri ucapannya, Profesor Mariatti menyeru semua peserta agar bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi, mengutamakan nilai saling menghormati serta memperkukuh semangat perpaduan.

Sementara itu, Pengarah Program SAS 3.0 Sidang Akademik 2024/2025, Nurul Aina Najwa Md Kamaruzaman, memaklumkan bahawa SAS telah memasuki edisi ketiga penganjurannya dan tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan khususnya, dalam kalangan pelajar.

“Tahun ini, kami turut membuat sedikit kelainan apabila peserta dari kalangan staf USM juga dijemput menyertai program ini bagi menambah kemeriahan dan menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan warga kampus,” jelas beliau.

DSC 0447 DSC 0509

DSC 0455 DSC 0531

DSC 0601 DSC 0612

Beliau turut memperkenalkan tema SAS 3.0 iaitu “Inside Out”, yang diinspirasikan daripada filem animasi terkenal dengan elemen pelbagai emosi sebagai simbol kekuatan dan keunikan setiap kontinjen di mana setiap pasukan membawa satu emosi berbeza sebagai identiti mereka sepanjang pertandingan.

Menurutnya lagi, program kali ini akan dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Fasa 1 dari 9 hingga 15 Jun yang menampilkan acara bola jaring, tarik tali dan pétanque; Fasa 2 dari 16 hingga 22 Jun, melibatkan dodgeball, bola tampar dan bola keranjang; manakala Fasa 3 dari 23 hingga 26 Jun akan menyaksikan pertandingan futsal, badminton, frisbee dan e-sukan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman