Skip to main content

FESTIVAL MUSABAQAH AL-QURAN USM 2025 KUKUHKAN NILAI INSAN MADANI

WhatsApp Image 2025 06 16 at 10.03.32

NIBONG TEBAL, 14 Jun 2025 – Festival Musabaqah Al-Quran (FMQ) 2025 yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat dalam seni Al-Quran, malah mengukuhkan perpaduan mahasiswa dalam penghayatan nilai-nilai Islam selaras dengan pembentukan insan madani.

Penganjuran edisi tahun ini menyaksikan penyertaan daripada semua desasiswa USM merangkumi Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan melalui lima acara utama iaitu Tilawah Al-Quran, Hafazan, Syarahan Agama, Penulisan Khat dan Azan.

Desasiswa Jaya Lembaran Utama bertindak sebagai tuan rumah edisi kali ini dengan mengetengahkan tema "Sinar Kalamullah, Teras Insan Madani" yang membawa maksud penghayatan Al-Quran sebagai panduan hidup bagi menjadi asas dalam pembentukan peribadi muslim, seimbang dari segi rohani, akhlak dan intelek.

Majlis Perasmian Penutupan FMQ 2025 telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saat, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik yang mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

WhatsApp Image 2025 06 16 at 10.03.32 1 WhatsApp Image 2025 06 16 at 10.03.33

WhatsApp Image 2025 06 16 at 12.14.33 1 WhatsApp Image 2025 06 16 at 12.14.33

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penglibatan aktif mahasiswa dalam program berteraskan keilmuan dan nilai spiritual seperti FMQ merupakan cerminan sahsiah unggul generasi muda berteraskan Al-Quran.

“Program FMQ memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian mahasiswa agar mereka sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama dalam mengejar kecemerlangan di dunia dan akhirat,” ujarnya.

“Budaya persaingan sihat yang diterapkan juga dapat melahirkan pelajar yang berkeyakinan dan berpemikiran terbuka dalam pelbagai situasi,” kata beliau.

Sementara itu, Puan Hasliza Mat Saad, Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama yang juga mewakili Pengerusi Majlis Penggawa USM, menyifatkan FMQ sebagai wadah penyatuan mahasiswa USM dari pelbagai latar belakang dalam suasana ilmu dan ukhuwah yang harmoni.

WhatsApp Image 2025 06 16 at 12.14.33 2 WhatsApp Image 2025 06 16 at 12.14.33 3

“Penganjuran seperti ini bukan sahaja mengangkat syiar Islam, malah menyemai kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan warga USM. Ia juga memperkukuhkan nilai akhlak dan jati diri mahasiswa sebagai insan madani,” ujarnya.

Penghargaan turut beliau rakamkan kepada seluruh warga kerja Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Majlis Penghuni Desasiswa JLU (MPDJLU) selaku penggerak utama, Pusat Islam Kampus Kejuruteraan sebagai rakan kolaborasi, serta sekretariat FMQ 2025 yang terdiri daripada wakil seluruh desasiswa USM.

Menurut beliau, program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebagai platform untuk menyemai semangat penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian mahasiswa dan membentuk generasi yang berakhlak mulia, berilmu dan berdaya saing berlandaskan nilai Islam.

FMQ 2025 dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Yang Dipertua (MYDP) Desasiswa USM dengan kerjasama Majlis Penggawa dan Pusat Islam Kampus Kejuruteraan. Program dijalankan dalam dua fasa, bermula dengan sesi saringan dan diteruskan dengan pusingan akhir yang berlangsung pada 13 dan 14 Jun 2025 bertempat di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, USM.

Teks: Ihsan Yang Dipertua MPD JLU, Saudara Azriq Rashid Hussin (Yang Dipertua MPDJLU)/Foto: Ihsan Jabatan Multimedia & Publisiti FMQ 2025

Suntingan: Hasliza Mat Saad, Nur Edrayana Ezzaty Muhammad Kamal, Shariff Hakim Abdullah