Skip to main content

MANDAT KERUSI UNESCO USM DALAM EKOHIDRAULIK DILANJUT HINGGA 2028

 copie 0 DSC00376

GEORGE TOWN, 19 Jun – Mandat Kerusi UNESCO dalam Ekohidraulik bagi Infrastruktur Air Mapan untuk Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 6 di Asia dan Pasifik di Universiti Sains Malaysia (USM) telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028.

Kerusi tersebut ditubuhkan pada tahun 2020 di bawah Program UNITWIN/UNESCO Chairs dan berfungsi sebagai pusat rujukan serantau dalam mempromosikan pembangunan infrastruktur air mapan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari 6: Air Bersih dan Sanitasi untuk Semua.

Pelanjutan mandat itu sekali gus mengiktiraf peranan kepimpinan USM dalam bidang pendidikan, sains dan pengurusan air di peringkat Asia-Pasifik serta memperkukuh komitmen berterusan universiti dalam memajukan penyelidikan, pendidikan dan kerjasama serantau yang berimpak tinggi dalam sektor air mampan.

Kerusi ini telah memainkan peranan penting dalam menggabungkan penyelidikan ekohidraulik dengan penyelesaian berasaskan sains untuk menangani cabaran air global di mana tempoh lanjutan ini dijangka memperkukuh lagi sumbangan kerusi ini dalam bidang penyelidikan, latihan dan pembangunan dasar.

Diketuai oleh Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria selaku Penyandang Utama, Kerusi ini memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan penyelidikan ekohidraulik dengan penyelesaian berasaskan sains bagi menangani cabaran air di peringkat global.

sdfwefasdfasdfa 

 WhatsApp Image 2025 06 20 at 10.08.02 WhatsApp Image 2025 06 20 at 10.09.24

Bagi mengukuhkan barisan kepimpinan, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Gs. Ir. Ts. Dr. Chang Chun Kiat, telah dilantik sebagai Penyandang Bersama baharu, dalam senarai rasmi UNESCO Chairs dan Rangkaian UNITWIN.

Beliau yang juga pakar dalam bidang infrastruktur air mampan dan hidraulik alam sekitar, dijangka memperluas agenda penyelidikan kerusi ini serta memperdalam penglibatan dengan pihak berkepentingan serantau, terutamanya dalam aspek penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pembangunan kapasiti teknikal.

Menurut Dr. Chang, pelanjutan mandat dan pelantikan baharu ini mencerminkan komitmen USM terhadap penyelidikan, inovasi dan pendidikan yang memberi kesan langsung kepada masyarakat serta menegaskan kedudukan universiti sebagai rakan strategik dalam komuniti sains air global UNESCO.

“Perkembangan ini seterusnya meletakkan USM sebagai antara institusi terulung dalam penyelidikan dan pendidikan berkaitan air di rantau ini, serta menyumbang secara bermakna ke arah pembangunan sistem air yang lestari dan berdaya tahan di peringkat global,” katanya.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Ihsan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar