23 PELAJAR BAHARU SERTAI AMBILAN KEDUA TINGKATAN ENAM KTE USM
NIBONG TEBAL, 23 Jun 2025 – Seramai 23 pelajar baharu telah mendaftar bagi Ambilan Kedua Program Pendidikan Tingkatan Enam (KTE) Kampus Universiti anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Pengetua Cemerlang Kolej Tingkatan Enam (Pra-Universiti) Desa Murni, Tuan Haji Adnan Idris menyifatkan pendaftaran kali ini sebagai detik bersejarah kerana merupakan pelaksanaan kedua majlis hala tuju program pendidikan tersebut di kampus universiti awam, khususnya USM.
“Kampus Kejuruteraan USM telah memberikan kerjasama yang sangat baik kepada pihak kolej dan guru-guru yang ditempatkan di sini,” kata beliau.
“Saya yakin dengan sokongan padu daripada pihak universiti serta prasarana yang kondusif, para pelajar mampu belajar dengan selesa dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan STPM,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar@Mustapha dan seluruh warga kampus atas komitmen berterusan dalam menjayakan program ini.
"Ucapan setinggi-tinggi terima kasih, turut saya panjangkan kepada Encik Mohd Kamil Ashar selaku Ketua Penolong Pendaftar di Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan atas komitmen penuh beliau yang sentiasa memudahkan urusan guru-guru KTE sepanjang penempatan mereka di sini sejak program ini mula dilaksanakan," tambah beliau.
Mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohammad Ariff menyatakan bahawa pihak universiti akan terus komited dalam menyokong kejayaan program tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya hari ini adalah penanda aras kepada kejayaan program ini dan kejayaan anda semua dalam peperiksaan STPM nanti adalah cerminan kepada keberkesanan pendekatan kita di KTE USM”, katanya.
“Bangunkanlah potensi diri secara holistik dari sudut akademik, kepimpinan, komunikasi dan nilai murni serta timba sebanyak mungkin pengalaman sepanjang berada dalam kampus ini agar anda dapat melangkah ke masa hadapan dengan yakin dan bersedia”, tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar para pelajar sentiasa berusaha membina sahsiah terpuji, rajin menyertai aktiviti yang membina dan menghargai setiap peluang yang diberi.
Turut hadir adalah Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Menengah & Tingkatan 6 Sektor, Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Zaini Sahid; Ketua Penolong Pendaftar, Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan USM, Mohd kamil Ashar dan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan, Mohd Rizal Ismail.
Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman