Skip to main content

USM DAN NSTU UZBEKISTAN JALIN KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN DALAM BIDANG KEJURUTERAAN

DSC 0991

NIBONG TEBAL, 24 Jun – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Namangan State Technical University (NSTU), Republik Uzbekistan.

Majlis menandatangani MoU tersebut melibatkan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik USM, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saad, dan rakan sejawat beliau, Naib Rektor (Kerjasama Antarabangsa) NSTU Profesor Dr. Anvar Maxkamov yang juga merupakan pakar dalam bidang tribologi.

Menurut Dr. Abdullah, penandantangan ini adalah bertujuaan untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan akademik antara kedua-dua pihak.

“Menerusi perjanjian ini, kedua-dua institusi bersetuju melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk pertukaran pelajar dan staf, pelaksanaan program akademik bersama, kolaborasi penyelidikan serta penganjuran bengkel dan latihan berkaitan bidang kejuruteraan,” ujarnya.

DSC 0995 DSC 0999

DSC 1001 DSC 1006

Beliau turut menyatakan bahawa, antara fokus utama kerjasama ini ialah menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang tribologi permukaan, selaras dengan kepakaran Profesor Anvar dan kumpulan penyelidik di USM.

“Hasil kajian bersama ini dijangka dapat diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi, seterusnya meningkatkan visibiliti kedua-dua institusi di peringkat antarabangsa dalam bidang kejuruteraan mekanik,” kata beliau.

“Pada masa sama, program pertukaran pelajar antarabangsa yang dirancang bakal memberi peluang kepada pelajar daripada kedua-dua universiti untuk merasai pengalaman pembelajaran rentas budaya, memperkukuh kemahiran insaniah serta memperluas jaringan akademik global,” tambah Adullah.

Menurutnya, usaha ini juga seiring dengan agenda pengantarabangsaan USM sambil menyokong aspirasi memperkasa pendidikan tinggi negara di persada dunia.

Turut hadir pada sesi penandatangan ini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

Teks: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

Suntingan: Siti Faizah Abd Halim