USM TERIMA ANUGERAH PENYELIDIKAN EKOHIDROLOGI SEMPENA HARI AIR SEDUNIA 2025
KUANTAN, 5 Julai - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya dalam bidang penyelidikan lestari apabila menerima Anugerah Penyelidikan Ekohidrologi sempena Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2025 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang hari ini.
Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kejayaan USM memperoleh status Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO (UNESCO Ecohydrology Demonstration Site) menerusi sistem BIOECODS di Kampus Kejuruteraan bagi tahun 2024.
Mewakili Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha hadir menerima anugerah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato' Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Dato' Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.
Sepanjang program tersebut, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai & Saliran Bandar (REDAC) USM, turut memainkan peranan penting apabila dilantik sebagai pelatih bagi Modul Kelestarian Air, memperkenalkan penggunaan penunjuk biologi kepada para peserta.
REDAC juga menyertai pameran dengan mengetengahkan sistem BIOECODS sebagai inovasi tempatan dalam pengurusan air bandar secara mampan.
YB Mohamad Nizar turut meluangkan masa melawat booth pameran tersebut di mana beliau turut diberikan taklimat mengenai peranan serta impak sistem BIOECODS sebagai tapak rujukan ekohidrologi yang diiktiraf UNESCO oleh wakil REDAC terlibat.
Sebelum ini, USM turut mencatatkan pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa apabila menerima tiga pengiktirafan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Program Hidrologi Antara Kerajaan (Intergovernmental Hydrological Programme – IHP) dan ulang tahun ke-60 Sains Air UNESCO yang berlangsung di Ibu Pejabat UNESCO di Paris dari 11 hingga 13 Jun lalu.
Tiga pengiktirafan tersebut ialah Pengiktirafan Peringatan bagi Kursi UNESCO dalam Ekohidraulik, Pengiktirafan Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO di Kampus Kejuruteraan USM, serta Pengiktirafan Label UNESCO–IAHR untuk Latihan dan Pendidikan Air.
Menurut Pengarah REDAC, Ir. Ts. Gs. Dr. Chang Chun Kiat, pengiktirafan ini membuktikan komitmen USM dalam memperkukuh agenda lestari global, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 6 berkaitan air bersih dan sanitasi.
Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa terhadap kepentingan pemeliharaan sumber air dan pembangunan mampan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan REDAC USM